Pengendali pasukan Pahang, Dollah Salleh jelas kecewa apabila skuad bimbingannya gagal untuk membenam Johor Darul Ta’zim sekaligus tewas dengan keputusan 2-0 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin semalam.

Menurut Dollah, pasukan mempunyai misi untuk mencatat tiga mata penuh apabila berkunjung ke Larkin. Akan tetapi, perkara sebaliknya berlaku dimana mereka pulang tanpa sebarang mata dan kekal menduduki tangga kedua dalam carta Liga Super.

Matthew Davies
Sumber Gambar: JST

“Pemain tidak berdisiplin dalam perlawanan terutama barisan pertahanan yang terlalu banyak bagi ruang kepada pemain JDT berpusing dan membiarkan mereka melakukan sepakan lintang.

“Saya sudah pesan kepada pemain jika kita bagi ruang kepada pemain JDT untuk bergerak bebas mereka akan bunuh kita tetapi nampaknya pemain saya tidak ikut arahan, pada babak kedua kami cuba beri tekanan kepada JDT namun tidak mencukupi.

“Ketiadaan Dickson amat dirasai apabila barisan serangan gagal berfungsi dengan baik kerana dia boleh mengawal bola dan menyusun strategi malah kerap menyuntik semangat pemain muda supaya bangkit,” kata Dollah menurut laporan Berita Harian.

Jaringan ketua pasukan, Hariss Harun dan pemain gantian, Akhyar Rashid pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan satu lagi kemenangan untuk JDT sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga setakat ini.

Dengan kemenangan semalam, JDT kekal menduduki tangga teratas saingan Liga Super dengan kelebihan 8 mata di hadapan pasukan Pahang.