Bulan Disember lepas, tular satu lagi klip video Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak mengamuk di dalam bilik persalinan di Stadium Darul Makmur ketika aksi menentang Sri Pahang dalam saingan Piala Malaysia.

Dalam video tersebut, Hodak kelihatan bengang dengan para pemainnya dan sempat melepaskan kemarahan dengan membaling botol air serta menumbuk papan putih (tactical board).

Ia adalah rakaman sebenar yang bakal ditayangkan secara eksklusif dalam dokumentari sukan bertajuk, ‘Sampai Mati Kuala Lumpur’ mulai esok, 1 Februari 2022 di Astro.

Dokumentari ini mengisahkan perjalanan berani KL City FC sehingga berjaya menewaskan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memenangi Piala Malaysia 2021.

Selain itu, dokumentari ini akan membawa peminat bola sepak tempatan melihat bagaimana pasukan KL City membuat persiapan menghadapi perlawanan dan apakah bentuk latihan yang diterapkan oleh Bojan Hodak kepada pemainnya.

Peminat juga akan dapat memahani dengan lebih dekat bagaimana pemain, jurulatih dan kakitangan kelab bekerja.

Dokumentari lapan episod itu akan tersedia kepada semua pelanggan Astro dengan dua episod pertama ditayangkan pada 1 dan 2 Februari jam 9 malam di Astro Arena (CH801), dengan episod berikut ditayangkan dalam tempoh tiga minggu akan datang pada hari Selasa dan Rabu pada masa yang sama.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata,

“Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan bersama KL City FC, merakam detik-detik penting sepanjang musim sehingga perlawanan akhir Piala Malaysia.
“Dokuseri akan berkongsi cerita dan emosi pasukan dari perspektif unik yang tidak pernah lihat atau alami peminat bola sepak Malaysia sebelum ini.”

Stanley Bernard, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, menambah,

“Kami gembira kerana perjalanan pasukan kami dalam salah satu cerita ‘underdog’ (pasukan bukan pilihan) terbesar dalam sukan Malaysia telah didokumentasi melalui siri ini.

“Keghairahan kami dilihat dalam cahaya yang berbeza, dan kami berharap ia memberi inspirasi kepada semua yang menontonnya. Kami percaya bahawa siri ini bergema dengan setiap peminat sukan, bukan hanya peminat pasukan kami. Ia juga merupakan langkah yang bermakna dalam meningkatkan komersial dan nilai jenama KL City FC, bola sepak Malaysia dan sukan tempatan.”

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Pemain Pertahanan Andorra Lengkapkan Kuota Pemain Import Kedah

Perak Bangkit Semula Dengan Logo Baharu

Lim Teong Kim Nafi Minta Gaji Tinggi, TMJ Balas “Jangan Nak Temberang”

Tiada Lagi Zainal Abidin, Melaka United Umum Risto Vidaković Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Tiga Pasukan Liga Super Bakal Berentap Dalam Piala Menteri Besar Terengganu

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak