Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon memuji disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya menumpaskan juara bertahan, Thailand 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, malam tadi.

Ditekan sejak awal yang menyaksikan para pemain Thailand cukup selesa untuk mendominasi permainan, skuad negara pula menunjukkan karakter kental dalam menyerap asakan.

Keadaan itu nyata membuahkan hasil untuk mengekalkan kelebihan dimiliki pada minit ke-11 menerusi jaringan Mohamad Faisal Abdul Halim sekali gus membawa kelebihan tipis ke Bangkok nanti.

Malah lebih menarik untuk diperkatakan, skuad negara masih mampu untuk menambah jaringan hasil serangan balas pantas terutamanya peluang keemasan dimiliki Quentin Cheng pada separuh masa pertama.

“Saya berbangga dengan semua pemain Harimau Malaya dan mengucapkan tahniah kepada mereka di atas kemenangan pada malam ini [malam tadi].”

“Saya merasakan pada malam ini seluruh peminat bola sepak Malaysia sangat berbangga dengan semangat yang ditampilkan oleh para pemain,” ujar Kim Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya sangat menghargainya. Sokongan daripada para penyokong memainkan peranan. Anda dapat lihat di gelanggang sendiri, mereka menjadikannya seolah-oleh festival.”

“Tetapi aksi separuh akhir ini masih belum tamat. Kita hanya menamatkan tahap pertama dalam saingan ini. Kita perlu kembali segar dengan cepat dan mesti melakukan persediaan semula untuk menghadapi Thailand.”

“Saya berpuas hati dengan semua pemain. Mereka berjaya mengatasi situasi yang cukup sukar dan kami turut mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan.”

“Mereka bersatu hati, menunjukkan semangat berpasukan, saling memberikan semangat antara satu sama lain. Apabila kami melakukan kesilapan, mereka pantas untuk mengawal kembali keadaan,” tambah Kim Pan-gon lagi.