Pemain pertahanan kacukan negara, Dion Johan Cools berkata beliau sudah tidak sabar untuk turun beraksi di hadapan puluham ribu penyokong Harimau Malaya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Dion berpendapat beraksi di hadapan penyokong sendiri akan memberikan kelebihan bagi pasukan negara.

“Sudah pastinya ia menjadi satu kelebihan buat kita (Malaysia) untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Malaysia dipilih sebagai salah satu tuan rumah bagi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung pada Jun ini dimana pasukan negara diundi dalam kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan juga Bangladesh.

Sehingga saat ini, Dion masih belum berpeluang untuk beraksi di hadapan penyokong skuad kebangsaan di laman sendiri ekoran tiada perlawanan antarabangsa yang diadakan di Malaysia.

Ketika membuat penampilan pertama bersama Malaysia pada Jun tahun lalu, ketika itu saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dion Johan Cools kemudiannya dipanggil untuk beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 namun kejohanan itu berlangsung di Singapura. Dion hanya beraksi dalam satu perlawanan ketika menentang Indonesia yang menyaksikan pasukan negara tewas dengan keputusan 4-1.

Sebelum pasukan negara menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023, skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan beraksi dalam perlawanan tiga penjuru yang turut membabitkan Singapura dan Filipina di Stadium Nasional Singapura.

Perlawanan tiga penjuru ini menjadi medan terbaik bagi Kim Pan-gon untuk menguji pemain bagi memastikan skuad kebangsaan dibarisi oleh pemain terbaik dalam saingan peringkat kelayakan.

Kim Pan-gon menyasarkan skuad bimbingannya mampu untuk meraih tujuh mata untuk menempah tiket ke Piala Asia 2023 dan menamatkan kemarau 16 tahun untuk layak ke kejohanan tersebut.

“Jujurnya, ini bukanlah undian yang menarik dan ia akan menjadi lebih sukar. Perlawanan menentang Turkmenistan cukup penting dan kami perlu mendapatkan 3 mata penuh.

“Kami juga tidak boleh kalah menentang Bangladesh. Kita sasar 7 mata untuk berada dalam posisi layak (ke Piala Asia 2023),” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Dibawa Khas Dari Turki, Penang Lancar Jersi Rasmi Pada 3 Mac Ini

Selangor Nafi Mahu Dapatkan Daniel Ting

TMJ Sedia Lepaskan Arif Aiman Untuk Beraksi Di Luar Negara