Pemain kacukan negara, Dion Johan Cools kembali ke pangkuan kelabnya, FC Midtjylland setelah menamatkan tugasan bersama Harimau Malaya dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan lalu.

Ketika beraksi bersama Malaysia, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menurunkan Dion di posisi pertahanan tengah, berbeza dengan posisi utama pemain itu ketika beraksi di peringkat kelab iaitu pertahanan kanan.

Pada perlawanan persahabatan menentang kelab Poland, Lech Poznan baru-baru ini, Dion dimasukkan sebagai pemain gantian dan pengurus Midtjylland, Bo Henriksen menurunkan Dion di posisi pertahanan tengah.

Pemain berusia 25 tahun itu sememangnya menampilkan prestasi memberangsangkan pada tiga perlawanan kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dimana beliau mencipta gandingan mantap bersama Aidil Zafuan.

Berkemungkinan besar Henriksen menyaksikan ketiga-tiga perlawanan ini dan beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Dion Cools dan memutuskan untuk cuba menurunkan bekas pemain skuad B-21 tahun Belgium itu di posisi tengah.

Musim lalu, Dion membantu Midtjylland muncul sebagai naib juara saingan Danish Superliga dan mereka layak ke peringkat kelayakan pusingan kedua saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dimana akan berdepan kelab Scotland, Celtic.

Midtjylland akan membuka tirai saingan Danish Superliga musim 2021/2022 dengan menentang Odense BK pada 17 Julai ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Dion Johan Cools di sini:

Dion Cools Gembira Pasukan Negara Tewaskan Thailand

TMJ: Perancangan Bawa Dion Cools Ke JDT Sudah Lama, Tapi Lebih Baik Beraksi Di Eropah

RASMI: FAM Umumkan Dion Cools Pemain Kacukan Terkini Sertai Kem Harimau Malaya Di UAE