Pemain pertahanan negara,Dion Cools tidak tersenarai dalam skuad FC Midtjylland yang akan menjalani perlawanan pra musim menjelang saingan musim 2022/2023 di Belanda.

Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab dimana seramai 30 pemain dibawa oleh pengurus pasukan, Bo Henriksen namun beliau tidak membawa pemain yang kembali ke kelab setelah menjalani tempoh pinjaman bersama pasukan lain musim lalu.

Dion kembali ke pangkuan FC Midtjylland setelah menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Belgium, Zulte Waregem selama enam bulan bagi menghadapi baki aksi saingan musim 2021/2022. Dion membantu Zulte kekal dalam saingan divisyen pertama dimana kelab tersebut menamatkan saingan di tangga ke-16 daripada 18 pasukan yang bertanding.

Pemain kacukan Malaysia-Belgium ini bakal bergelar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana perkara ini disahkan sendiri oleh pemilik kelab iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sesi bersama peminat baru-baru ini.

Menurut TMJ, Baginda menyatakan bahawa Dion mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi JDT namun pihaknya tidak dapat membawa masuk Dion dalam masa terdekat.

Ini kerana harga untuk menebus kontrak beliau bersama kelab Denmark, FC Midtjylland terlalu tinggi sekaligus menyebabkan kelab tersebut terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk mendapatkan Dion pada saingan musim ini.

“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang mahu bermain di sini. Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.

Dion baru-baru ini membantu Malaysia layak ke temasya Piala Asia 2023 dimana beliau turut menyumbang satu gol ketika pasukan negara menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir kumpulan E dengan keputusan 4-1.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah di sini:

Frenkie De Jong Enggan Dipotong Gaji, Man United Kembali Ada Harapan Mendapatkannya

TERKINI: Ronaldo Mahu Angkat Kaki, Barcelona U Turn Mahu Kekalkan De Jong

Manchester United ‘Sailang’ Lyon Dapatkan Tyrell Malacia