Ketua pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools melengkapkan musim cemerlang di Thailand apabila beliau tersenarai dalam kesebelasan terbaik bagi saingan Liga Thailand musim 2022/2023.

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad dimana pemain Buriram mendominasi senarai tersebut yang mana selain Dion, lima lagi pemain turut berada dalam senarai tersebut.

Antara pemain yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik musim ini ialah Michael Falkesgaard (Bangkok United), Rebin Sulaka, Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Samuel Rosa (PT Prachuap).

Sebelum ini, Dion Cools membantu Buriram mempertahankan kejuaraan Liga Thailand dimana mereka muncul juara dengan perbezaan lapan mata di hadapan Bangkok United.

Dion pernah mendedahkan mengapa beliau memutuskan untuk meninggalkan bola sepak Eropah dan beraksi di Asia Tenggara.

“Buriram adalah kelab terbesar di Asia dan saya ketika itu bergelar ejen bebas. Jadi perpindahan ini adalah perkara baik untuk saya.

“Buriram percaya dengan saya. Mereka sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat saya, jadi perkara itu yang meyakinkan saya agar berhijrah ke sini,” kata Dion.

Ketika ditanya mengenai pendapat peminat bola sepak negara yang menganggap beliau downgrade dengan beraksi di Thailand, Dion berkata dia mahu menikmati bola sepak di mana saja beliau bermain.

“Saya mahu menikmati bola sepak, tak kira dimana saya beraksi sama ada Eropah atau Asia. Saya menikmati setiap saat. Bagi saya, saya berpuas hati dengan apa yang saya lakukan.

“Saingan Liga Thailand tidak terlalu fizikal, dengan pemain dan jurulatih yang berbeza berbanding di Eropah. Tetapi mereka mempunyai kualiti yang baik, mereka mempunyai ramai pemain yang memiliki teknikal bagus,” ujarnya.