Pemain pertahanan negara, Dion Cools menegaskan beliau menjadi pemain yang lebih baik sejak memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia.

Dion berkata demikian ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Turkmenistan hari ini dimana pemain itu mengakui beliau mendapat pengalaman baharu apabila beraksi bersama pasukan negara.

“Satu tanggungjawab yang lebih besar bermain untuk Malaysia, anda dapat pengalaman yang baharu yang tidak akan didapati ketika bermain dengan kelab.

Dion Cools Malaysia
Sumber Gambar: FAM

“Jadi tentunya saya menjadi lebih matang daripada perlawanan ini dan ya saya katakan ia satu pengalaman yang positif,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dion Cools sudah menyertai kem latihan pusat pasukan Malaysia dan beliau dipilih sebagai ketua pasukan untuk menghadapi perlawanan menentang Turkmenistan.

Pada masa yang sama, pemain Buriram United itu menyatakan pasukan kini berada dalam keadaan yang baik dan pemain baharu yang dipanggil juga berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan okeh Kim Pan-gon.

Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.

Bagi menghadapi dua perlawanan ini, Pan-gon membawa seramai 27 pemain dimana 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!