Pemain pertahanan negara, Dion Cools memberi penjelasan mengapa nama beliau tiada dalam panggilan kali ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea.

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon hari ini mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu, Terengganu bermula 10 Jun 2023.

Nama pertahanan Buriram United itu tiada dalam senarai dan perkara ini mencetuskan tanda tanya dikalangan peminat bola sepak tanah air.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Dion Cools menjelaskan bahawa beliau bakal berkahwin tidak lama lagi dan sebab itu dia tidak dapat menyertai pasukan negara kali ini.

“Selamat maju jaya kepada rakan-rakan. Seperti yang semua tahu, saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Jadi sayangnya saya tidak dapat mewakili pasukan negara kali ini. Terima kasih,” kata Dion.

Dion Cools
Dion Cools

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kepulauan Solomon pada Rabu, 14 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 9.00 malam sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua pada Selasa, 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 9.00 malam.

Sementara 24 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain yang dipanggil oleh Pan-gon.

Sumber Gambar: FAM