Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dion Cools tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama buat kelab baharunya iaitu FK Jablonec.

Pada aksi liga Republik Czech menentang Motorlet Prague, Dion diletakkan dalam kesebelasan utama oleh pengurus pasukan, David Horejš dan beliau nyata memanfaatkan peluang yang diberikan.

Dion menjaringkan gol pembukaan Jablonec pada separuh masa pertama dimana beliau menyambar bola hasil hantaran dari David Houska di sebelah kiri sekaligus menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu.

Pada perlawanan tersebut, Jablonec berjaya mencatat kemenangan dengan keputusan 4-0 dimana selain Dion, dua lagi pemain turut menyumbang jaringan iaitu Jakub Martinec dan Jan Chramosta.

Dion Cools menyertai FK Janlonec selepas beliau meninggalkan kelab Denmark, FC Midtjylland yang disertainya pada musim 2020.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab dimana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak sedia ada sekaligus membenarkan pemain berusia 26 tahun itu mencari pasukan baharu.

“FC Midtjylland dan Dion Cools telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak sedia ada, jadi pemain berusia 26 tahun itu bebas mencari kelab baharu. Pemain pertahanan Malaysia itu menyertai Midtjylland pada Januari 2020 dari Club Brugge dan telah membuat 53 penampilan. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” dipetik dari laman web rasmi kelab.

Baru-baru ini, Dion tersenarai dalam skuad yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.

Skuad kebangsaan akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Dion berkemungkinan besar berada dalam senarai pemain untuk dijadikan sebagai ketua pasukan setelah ketua jurulatih, Kim Pan-gon tidak memanggil Farizal Marlias dan Safiq Rahim dalam senarai kali ini.