Pemain pertahanan negara, Dion Cools bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh pemilik kelab iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu sesi sidang media bersama peminat yang diadakan pada hari ini.

Menurut TMJ, Baginda menyatakan bahawa Dion mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi JDT namun pihaknya tidak dapat membawa masuk Dion dalam masa terdekat.

Ini kerana harga untuk menebus kontrak beliau bersama kelab Denmark, FC Midtjylland terlalu tinggi sekaligus menyebabkan kelab tersebut terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk mendapatkan Dion pada saingan musim ini.

“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang mahu bermain di sini.

“Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.

Sebelum ini, beredar khabar angin di laman media sosial yang mengatakan Brentford bakal mendapatkan khidmat pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pada jendela perpindahan musim panas kali ini ekoran kelab tersebut turut dimiliki oleh pemilik FC Midtjylland yang juga kelab terkini Dion iaitu Matthew Benham.

Akan tetapi, dengan pengumuman yang dibuat oleh TMJ, maka jelas pasukan mana yang akan diwakili oleh Dion Cools pada saingan musim hadapan.

Dion kembali ke pangkuan FC Midtjylland setelah menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Belgium, Zulte Waregem selama enam bulan bagi menghadapi baki aksi saingan musim 2021/2022. Dion membantu Zulte kekal dalam saingan divisyen pertama dimana kelab tersebut menamatkan saingan di tangga ke-16 daripada 18 pasukan yang bertanding.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Bergson Tidak Berminat Fikir Tentang Pemain Pasukan Lain

Daniel Ting Kembali Ke Pangkuan Johor Darul Ta’zim

Sergio Aguero Dan Lee Tuck Tidak Dapat Didaftarkan Sebagai Pemain Tempatan