Pemain pertahanan negara, Dion Cools menganggap skuad kebangsaan menampilkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Stadium Nasional, Singapura semalam.

Dion dipilih sebagai pemain terbaik pada aksi tersebut dan menegaskan filosofi yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon membuahkan hasil.

“Setiap jurulatih mempunyai filosofi yang tersendiri. Jenis tekanan yang berbeza ketika memegang bola dan cuba untuk mencipta gerakan. Semua berjalan lancar hari ini (semalam). Satu persembahan yang cukup cemerlang.

“Pemain dan staf pasukan telah bekerja dengan keras. Saya mengharungi perjalanan yang panjang untuk sampai ke sini. Ianya satu hari yang baik untuk negara ini,” kata Dion Cools pada sidang media selepas perlawanan.

Dibawah bimbingan Pan-gon, Dion diturunkan di posisi asal beliau iaitu pertahanan kanan dan pemain berusia 27 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang sepanjang beraksi di atas padang.

Dion sentiasa memberikan sokongan baik ketika pasukan negara dalam transisi menyerang dan juga bertahan sekaligus memainkan peranan penting dalam kemenangan Malaysia.

Pada aksi di Stadium Nasional, Akhyar Rashid membuktikan minit permainan yang kurang di peringkat domestik tidak langsung mengganggu prestasinya apabila beliau berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga permainan.

Gol pantas tersebut berpunca daripada lorongan cantik dilakukan Corbin-Ong ke dalam kawasan penalti yang membolehkan Akhyar memperdayakan Enrique Linares dan kemudiannya beliau melakukan rembatan yang sekali gus menewaskan penjaga gol, Neil Etheridge.

Kem skuad negara sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-24 setelah Akhyar menyempurnakan peluang terhidang berikutan serangan balas pantas dimulakan Safiq Rahim untuk pemain berusia 23 tahun itu melebarkan kedudukan.

Akhyar hampir melengkapkan hatrik pada lewat aksi babak pertama tetapi percubaannya ketika beliau sudah mengawal bola dengan baik dalam kawasan penalti tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Selepas ini, pasukan negara akan turun berdepan Singapura pada 26 Mac diikuti dengan aksi menentang Albirex Nigata Singapore pada 28 Mac.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Liridon Dan Sumareh Terima Kritikan Pedas Dari Peminat

Perlawanan Persahabatan: Era Baharu Harimau Malaya Bermula Dengan Langkah Kanan

Kim Pan-gon Pikul Dua Tugas Sebagai Pengurus Dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya