Kuala Kangsar BRM FC yang baharu sahaja melancarkan jersi pasukan memberikan bayangan untuk menarik diri daripada persaingan Liga M3 2023.

Keputusan drastik itu berkemungkinan terpaksa diambil selepas Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) melarang kelab itu daripada menggunakan jersi yang memaparkan logo penaja daripada jenama rokok elektronik (e-rokok).

Larangan tersebut nyata menjejaskan kelab yang bakal membuat penampilan kedua dalam saingan Liga M3 itu kerana syarikat tersebut dikhabarkan merupakan penaja utama kelab itu.

Perkembangan terkini itu disahkan sendiri oleh Kuala Kangsar BRM FC menerusin kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut, Ghafari Nasir.

“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perkara yang berlaku berkaitan isu penajaan daripada sebuah syarikat rokok elektronik.”

“Rentetan isu ini, berkebarangkalian besar pasukan Kuala Kangsar BRM FC akan menarik diri daripada saingan Liga M3 2023 atas masalah penajaan yang kami hadapi.”

“Ahli Lembaga Pengarah kelab akan bermesyuarat dan membuat keputusan dalam masa yang terdekat,” tambah Ghafari lagi.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini,BRM FC telah mengadakan sesi pengenalan pemain, jersi dan penaja pasukan di Stadium Mini Kuala Kangsar.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim dan turut diserikan dengan satu perlawanan persahabatan menemukan pilihan kelab tersebut menentang Super Lawak FC.

BRM FC merupakan antara pasukan yang mampu melakar kejayaan apabila mara ke separuh akhir Liga M3 musim lalu apabila hanya tewas menerusi jaringan di tempat lawan ketika bertemu naib juara, Kuala Lumpur Rovers.