Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Nafuzi Zain mengakui usaha anak buahnya masih belum mencukupi  sekali gus mereka tunduk 2-3 di tangan KL City dalam aksi Liga Super 2023 berlangsung di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Ketinggalan pada minit ke-11 menerusi jaringan Paulo Josue, Kedah kemudiannya bangkit untuk mendahului 2-1 susulan jaringan Jonathan Balotelli dan Bojan Ciger pada babak pertama.

Namun, semuanya tidak berjalan dengan lancar pada separuh masa kedua apabila Romel Morales dan Herlison Caion menemui sentuhan jaringan untuk memberikan kemenangan buat pasukan pelawat.

“Tahniah untuk KL. Kita rasa usaha kita masih belum mencukupi pada malam ini,” ujar Nafuzi menurut sumber laporan di Twitter Astro Arena.

“Mungkin daripada segi itu, KL lagi nampak lebih baik berbanding kita. Kalau tengok daripada awal kita begitu leka.”

“Semudah itu beberapa peluang KL dapat menjaringkan gol dan kita dapat kembali bangkit 2-1 tetapi di awal babak kedua terlalu awal kami kena [bolos].”

“Seperti sebelum ini, saya rasa kami perlu elakkan. Awal-awal permainan pihak lawan dapat menjaringkan gol, memang sukar buat kita.”

“Kita melepaskan gol kerana kesilapan-kesilapan individu,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Kekalahan kepada KL City itu jelas amat pahit untuk ditelan Nafuzi dan anak-anak buahnya kerana Kedah sebelum ini turut tumbang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Manakala ia merupakan kekalahan kedua Kedah di laman sendiri selepas menerima nasib sama ketika berhadapan dengan PDRM pada 4 Mac lalu.

Sumber