Bekas jurulatih skuad kebangsaan Argentina, Diego Maradona dilaporkan telah menerima tawaran untuk melatih naib juara Liga Super 2019, Pahang bagi menghadapi musim yang mencabar pada tahun depan.

Perkembangan itu didedahkan sendiri oleh wartawan yang bekerja dengan sebuah portal sukan popular dari Mexico, Superdeportivo iaitu Cesar Luis Merlo melalui laman twitter miliknya.

Bagaimanapun, menurut kenyataanya, Maradona telah menolak tawaran daripada Pahang untuk kekal menjadi jurulatih Kelab Gimnasia De La Plata.

“Diego Maradona semalam telah menerima tawaran bernilai jutaan dollar untuk membimbing sebuah pasukan dari Malaysia, Pahang FC selama 6 bulan tetapi beliau membuat keputusan untuk kekal dengan Gimnasia De La Plata,” tulisnya dalam laman instagram.

Legenda Argentina berusia 58 tahun pernah menggegarkan bola sepak dunia dengan jaringan ‘hand of god’ dalam saingan Piala Dunia 1986. Sebelum ini, beliau menunjukkan minat untuk melatih kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar di laman twitter, jurulatih skuad Tok Gajah pada musim ini iaitu Dollah Salleh dilaporkan bakal meninggalkan pasukan itu.

Malah, tempat beliau dikatakan akan diambil alih oleh lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad selepas berakhirnya temasya Sukan SEA di Filipina.

Namun begitu, ia tidak mungkin berlaku kerana Fandi Ahmad baru sahaja melanjutkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk terus melatih pasukan kebangsaan negara tersebut.

Pahang dilihat telah melakukan beberapa rombakan pemain selepas tonggak utama pasukan itu, Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani mengumumkan angkat kaki dan ditamatkan kontrak walaupun masih berbaki setahun.

Ianya sesuatu yang menarik untuk menyaksikan apakah perancangan skuad tok gajah pada musim depan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia musim ini. 

Tiada Lagi Kelibat Saddil Ramdani Dan Zubir Azmi Dalam Skuad Tok Gajah Musim Depan

Safuwan Baharudin Sah Angkat Kaki Daripada Skuad Tok Gajah Musim Depan

Dickson Nwakaeme Belum Pasti Sarung Jersi Skuad Tok Gajah Musim Depan