Bekas pemain import Sri Pahang, Dickson Nwakaeme nyata sedih melihat pasukan itu masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Menerusi komen di media sosial rasmi Instagram pasukan, Dickson menegaskan tidak semua pemain boleh beraksi dengan baik dalam saingan Liga Malaysia dan Sri Pahang memerlukan pemain yang layak untuk menyarung jersi pasukan.

Dickson Nwakaeme
Sumber Gambar: Instagram Sri Pahang

“Anda perlu menandatangani pemain yang layak untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Bukan semua pemain mampu untuk menampilkan prestasi terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

“Pihak pengurusan perlu tahu mengenai perkara ini. Saya sudah nasihat banyak kali. Sedih untuk kita melihat pasukan ini mengalami kekalahan,” kata Dickson Nwakaeme.

Sri Pahang ketika ini menduduki tangga ke-11 dalam carta liga selepas mengutip satu mata dari tiga perlawanan yang dihadapi setakat ini.

Dua perlawanan menentang Petaling Jaya City dan Kedah Darul Aman dianggap tidak menyebelahi kelab dari Pantai Timur itu apabila kesilapan pengadil menyebabkan Pahang hanya seri ketika berdepan PJ City dan tewas kepada Kedah.

Pada perlawanan baru-baru ini, skuad bimbingan Chritoper Gamel gagal untuk menewaskan Melaka United yang sedang dilanda isu tunggakan gaji dimana Pahang tewas dengan keputusan 2-1.

Kekalahan itu bermakna kedudukan Gamel sebagai ketua jurulatih berada dalam bahaya kerana berdepan risiko untuk ‘direhatkan’ ekoran prestasi hambar skuad Tok Gajah dalam beberapa perlawanan yang diharungi.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi maklumat seorang lagi ketua jurulatih bakal direhatkan ekoran prestasi hambar pasukan dan ramai berpendapat jurulatih yang dimaksudkan ialah Gamel.

Ibarat mengulangi skrip tahun lepas, nama Dollah Salleh yang juga merupakan pengurus pasukan kembali disebut-sebut sebagai pengganti Gamel bagi menghadapi baki perlawanan yang seterusnya.

Musim lepas, Thomas Dooley hanya sempat mengendalikan Sri Pahang dalam dua perlawanan Liga Super sebelum pengurusan mengambil keputusan untuk merehatkan jurulatih kelahiran Jerman itu sekaligus digantikan dengan Dollah Salleh.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Tiga Perlawanan Tanpa Kemenangan, Dollah Bakal Kembali Latih Sri Pahang?

Faiz Nasir Dikejarkan Ke Unit Rawatan Rapi

Masih Gagal Selesaikan Tunggakan Gaji, Perak Dipotong Enam Mata Lagi