Dua pemain import pasukan Pahang, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi dijangka kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan itu apabila Pahang bertandang ke Stadium Ipoh bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2019 pada esok.

Kedua-dua pemain ini tidak diturunkan ketika Pahang bertemu pasukan Selangor di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Dollah Saleh itu tewas dengan keputusan 5-2. Dollah memberikan peluang kepada pemain muda dengan menurunkan Nik Sharif dan R.Kogileswaran untuk mengetuai jentera serangan.

Pahang FA
Sumber Gambar: Pahang FA

Keputusan Dollah untuk merehatkan Dickson dan Kaimbi dilihat sebagai langkah untuk memastikan kecergasan pemain utama Pahang tidak terjejas sekaligus memastikan kelebihan dua gol yang diperoleh daripada perlawanan pertama dapat dikekalkan.

Selain itu, perlumbaan untuk mendapatkan trofi Liga Super sudahpun tamat apabila jurang mata antara Pahang dan JDT dibezakan dengan 13 mata. Jadi, lebih baik Pahang menumpukan perhatian bagi mempertahankan piala yang dimenangi mereka musim lalu dengan menewaskan Selangor di pentas akhir.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Pahang menewaskan Perak dengan keputusan 3-1 menerusi satu jaringan daripada pemain sayap, Mohamadou Sumareh dan dua lagi daripada pemain pertahanan import, Herold Goulon.

Sejak dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua, Lazurus Kaimbi telah menjaringkan satu gol, lebih tepatnya ketika Pahang membenam PKNP FC pada perlawanan Liga Super. Bekas pemain Kelantan ini perlu segera kembali menemui sentuhan jaringan jika mahu dikekalkan bagi saingan musim hadapan.