Kekalahan memalukan 0-5 Indonesia kepada UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada hari khamis lepas sehingga kini masih menjadi bualan dan mengundang pelbagai kecaman daripada penyokong skuad Garuda.

Ini adalah kekalahan ketiga Indonesia selepas mengalami dua kekalahan di tempat sendiri kepada Malaysia (2-3) dan Thailand (0-3). Justeru itu, anggota exco daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Refrizal mahu pengendali pasukan kebangsaan itu, Simon McMenemy letak jawatan dengan segera.

Perlawanan menentang Vietnam pada hari selasa ini mungkin merupakan peluang terakhir bagi jurulatih dari Scotland itu sebelum penyokong mereka hilang kesabaran dan melakukan protes terhadap PSSI.

“Sepatutnya dia letak jawatan kalau ‘gentleman’. Sebagai seorang jurulatih profesional, dua kali kalah di tempat sendiri dan kalah 0-5 di tempat lawan, tanpa diminta pun dia tetap berundur,” katanya kepada CNN Indonesia.

3971514880
FOTO: MUHAMMAD ROBBANI/BOLASPORT.COM

Meskipun sudah tewas sebanyak tiga kali tanpa sebarang mata, Refrizal mengatakan PSSI tidak mungkin akan memecat Simon McMenemy kerana tarikh perlawanan menentang Vietnam sudah dekat.

“Tidak mungkin kami ganti (Simon McMenemy) dalam masa terdekat. Kalau dia pilih berundur, lain cerita. Kalau dia tiada, pembantu jurulatih (Yeyen Tumena) masih ada,” jelasnya.

Refrizal juga mendakwa beliau mempunyai beberapa calon jurulatih lain bagi menggantikan tempat Simon McMenemy. Antara calon tersebut ialah bekas jurulatih T-Team FC, Rahmad Darmawan yang kini merupakan pengendali pasukan Tira Persikabo FC.

“Ada kawan dari Exco mengusulkan nama RD (Rahmad Darmawan). Itu cuma cadangan sahaja. Tetapi masih ada nama lama berada dalam tiga pencalonan itu, saya tak boleh dedahkan,” tambahnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Indonesia yang mungkin anda terlepas pandang.

Indonesia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Dunia 2034

Beto Goncalves Yakin Indonesia Akan Mara Ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022

Bali Dipilih Sebagai Lokasi Perlawanan Indonesia Menentang Vietnam

Sumber