Hasrat skuad bawah 19 tahun negara untuk beraksi dalam saingan Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 2-6 kepada Korea Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kelayakan di Mongolia.

Pasukan muda negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang layak ke Piala Asia B-20 menerusi slot juara kumpulan namun kegagalan mengutip sebarang mata ke atas Korea Selatan telah menghancurkan harapan itu.

Sejak awal perlawanan, Korea Selatan kerap memberi tekanan kepada negara apabila mudah menyelusup masuk ke kawasan kotak penalti. Namun, benteng pertahanan termasuk penjaga gol Malaysia beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras juga berpeluang menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 27 tetapi rembatan Haiqal Haqeemi mudah ditepis oleh penjaga gol Korea Selatan.

Ketika mereka tengah rancak menyerang, Korea Selatan berjaya menghukum kelekaan benteng pertahanan negara menerusi serangan balas pada minit ke 33 lalu disudahkan oleh rembatan Lee Youngjun untuk gol pertama.

Aksi di separuh masa kedua lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun, Korea Selatan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Bae Junho.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad muda negara untuk terus memburu gol pertama dan hasilnya Adam Farhan merapatkan jurang pada minit ke 54 apabila rembatannya berjaya menewaskan penjaga gol lawan.

Dua minit kemudian, Korea Selatan kembali di depan menerusi serangan balas lalu disudahkan oleh rembatan Lee Seungwon pada minit ke 56.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Hassan Sazali Waras tetap bangkit memburu gol penyamaan untuk mencari sekurang-kurangnya keputusan seri dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Aliff Izwan menjaringkan gol kedua pada minit ke 67.

Ketika Malaysia sedang berusaha untuk melakukan ‘comeback’, mereka sekali lagi dihukum menerusi serangan pantas Korea Selatan. Dua gol berturut-turut berjaya dijaringkan oleh pasukan lawan sekaligus mematikan kebangkitkan skuad muda negara.

Malah, skuad negara juga terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas pengadil melayangkan kad merah kepada kapten pasukan, Ubaidullah Shamsul pada minit ke 66.

Korea Selatan juga sempat menjaringkan gol ke 6 menerusi sepakan penalti di minit akhir perlawanan sekaligus meranapkan impian skuad muda negara untuk beraksi dalam saingan Piala Asia B-19 di Uzbekistan tahun depan.