FA Jerman (DFB), mengumumkan pada Khamis bahawa pemain yang menukar jantina mereka dibenarkan untuk bermain sama ada untuk pasukan lelaki atau wanita bermula musim hadapan.

Kenyataan dibaca: “Peraturan menyatakan bahawa pemain yang status mereka ‘diverse’ [berlainan] atau ‘unspecified’ [tiada gender atau non binary] boleh bermain untuk pasukan lelaki atau wanita, di kesemua peringkat belia, futsal dan amatur.”

“Ini juga terpakai kepada mereka yang menukar jantina [transgender] di mana mereka boleh menukar penyertaan mereka dalam kategori atau kekal dalam kategori mereka yang sedia ada.”

DFB sebelum ini mendapat desakan daripada pejuang kebebasan jantina, agar mereka membenarkan pemain yang menggelar diri mereka ‘non binary’ atau tiada jantina, dan juga pemain yang menukar jantina mereka daripada jantina asal ketika lahir, agar mereka diberikan peluang bersukan dan bermain bola sepak.

Ini sejajar dengan dokumentasi rasmi kerajaan Jerman yang memasukkan pilihan kategori ‘miscellaneous’ selain lelaki atau wanita untuk butiran gender — sejak 2018.

Dalam konteks ini Miscellaneous merujuk kepada mereka yang di tengah tengah, antara lelaki atau wanita.

DFB menggunakan kajian kes di Liga Bola Sepak Berlin Football League, di mana liga tempatan tersebut sudah mengaplikasikan sistem di mana pemain selain lelaki dan wanita tulen boleh bermain sama ada di dalam bola sepak lelaki atau wanita sejak 2019.

DFB menyatakan bahawa, mereka melihat perubahan itu tidak menganggu struktur bola sepak sama sekali, itu mereka yang kata ya, bukan kami di Vocket FC.

DFB menegaskan bahawa, kekuatan seorang pemain tidak menjami kejayaan pasukan. Kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

DFB menambah: “Akhir sekali, setiap manusia ada kekuatan berbeza dan keupayaan fizikal berbeza, namun kejayaan itu hanya akan dicapai secara kolektif sebagai satu pasukan, tanpa mengira gender para pemain di dalamnya.”

Namun DFB turut memberikan amaran, sesiapa sahaja yang menukar jantina tidak dibenarkan mengambil barang terlarang yang akan meningkatkan prestasi mereka, itu akan dikira doping.

Beberapa hari lalu, Kesatuan Renang Antarabangsa, FINA menarik balik kebenaran atlet tukar jantina beraksi dalam kategori wanita demi menjaga intergriti sukan tersebut.

Ianya selepas bantahan daripada ramai atlet wanita tentang perkara itu.