Kalidou Koulibaly memenangi hati peminat Chelsea ketika dia memuat naik video menunjuukan bahawa dia menghubungi legenda kelab John Terry untuk meminta kebenaran menggunakan nombor jersi ikonik no.26.

Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu, yang menyertai The Blues dari kelab Serie A Napoli musim panas ini dengan bayaran dalam lingkungan £33 juta, akan memakai nombor 26 musim ini.

Tetapi sebelum nombor baju disahkan oleh kelab, Koulibaly mahu memastikan perkara itu baik-baik sahaja dengan John Terry.

Terry, kapten paling berjaya dalam sejarah Chelsea dengan 15 trofi utama, tampil dalam 717 perlawanan untuk kelab itu sambil memakai no.26 yang ikonik.

Dalam perjalanannya dengan kereta pada 15 Julai 2022, pemain antarabangsa Senegal itu berkata perkara berikut dalam panggilan telefon kepada bekas bek tengah England itu.

Dia memulakan: “John, saya ingin bertanya sesuatu kepada kamu kerana seperti yang kamu tahu, sebelum ni saya bermain dengan jersi 26 di Napoli dan saya lihat, sejak kamu meninggalkan kelab, tiada siapa yang mengambil nombor 26.”

“Saya tidak tahu sama ada kamu telah memencenkannya atau tiada siapa yang mahu mengambilnya, tetapi saya ingin bertanya kepada kamu, sama ada boleh tak saya mengambilnya.”

Terry membalas segera. “Dengar, 26 itu sangat istimewa bagi saya. Ya kawan, saya sangat menghargai panggilan anda dan tiada masalah bagi saya untuk anda menerimanya, dengan senang hati.

“Saya harapkan kamu baik baik saja, kerana saya tahu betapa pentingnya nombor itu bagi saya dan saya jelas telah melihat kamu memakai 26 juga jadi, ini kerelaan hati saya, saya berikan 26 kepada kamu.”

Selepas itu Koulibaly yang berterima kasih kepada Terry dan berkata ia akan menjadi baju yang “berat” untuk dipakainya, Terry menjawab: “Tiada tekanan kawan, kamu akan memenangi trofi untuk kami, okay?”

Pada 2019, bekas kapten Chelsea, Terry mendedahkan dia mengekalkan nombor 26 sepanjang kariernya supaya peminat tidak perlu membeli baju lain. Mereka boleh berjimat dengan memakai jersi sebelumnya.

“Apabila saya memecah masuk pasukan pertama di Chelsea itu adalah nombor saya dan saya telah melihat beberapa peminat dengan nama dan nombor saya di baju mereka,” tulis Terry di Instagram.

“Saya tidak mahu mereka membayar untuk baju lain.”

Pemain tengah Chelsea, Jorginho turut mengulas mengenai keputusan Koulibaly untuk mengambil nombor baju terkenal itu.

“Saya fikir Kalidou akan menyedari kepentingan nombor baju lebih banyak lagi selepas ini,” katanya.

“Juga dia akan membawa bersamanya dengan rasa hormat untuk nombor itu, menunjukkan rasa bangga dan bertapa bernilainya nombor itu.”