Pertembungan dua pasukan teratas Liga Super diantara Negeri Sembilan menentang JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan malam ini.

Malah, Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengesahkan sebanyak 15,000 tiket perlawanan tersebut telah berjaya dijual setakat pagi ini. Mereka turut akan menjual baki tiket perlawanan itu di kaunter grandstand bermula jam 3 – 6 petang dan di kaunter tiket Zon B & C bermula dari jam 6 petang hingga 10 malam.

Dijangka lebih 20,000 penyokong daripada kedua-dua pasukan akan membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Pertembungan ini bakal berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super.

Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed waspada ancaman bahaya Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila masing-masing dalam misi untuk mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam perlawanan kelapan Liga Super.

Syihan yang semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi setakat ini mengakui tugas yang cukup berat untuk mengawal gawang bagi memastikan pasukan tidak bolos apatah lagi serangan JDT yang sentiasa memberi tekanan kepada lawan.

“Kita sedar JDT merupakan pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sengit pada malam esok sebab dua-dua sedang konsisten tanpa tewas.

“Tetapi dalam bola sepak, kita susah nak jangka sebab apa-apa sahaja boleh berlaku dan selagi perlawanan masih belum bermula, susah kita nak cakap siapa yang mungkin menang atau sebaliknya.

“Yang penting, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik sambil berharap kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan”, katanya kepada MFL.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Herold Goulon Dipilih Sebagai Pemain Paling Menyerlah Dalam Liga Super Minggu Ke-6

Berusia 41 Tahun, Amri Yahyah Tiada Masalah Ledak Hatrik Bantu Sabah ‘Tibai’ Kedah 4-0

CEO Terengganu FC Terkilan MFL Ubah Jadual Tanpa Berbincang Dengan Rakan Kongsi

Ultras Dan Kelab Penyokong Kedah Terima Dana Daripada KFA Beli Peralatan Muzik