Hasrat Sri Pahang untuk memperbaiki kedudukan liga dengan mengutip 3 mata penuh tidak kesampaian apabila mereka tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan semalam.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah bermain dengan lebih bersemangat dan kerap memberi masalah kepada benteng pertahanan pelawat.

Memasuki minit ke-7, TFC membuat percubaan tepat ke gawang Sri Pahang menerusi rembatan Dechi Marcell. Usaha mereka mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import, David Da Silva merembat masuk bola lorongan Faiz Nasir dalam kotak penalti untuk gol pertama.

Namun beberapa minit kemudian,  David Da Silva terpaksa dikeluarkan kerana dilihat tidak berapa selesa dengan keadaan kakinya sejak awal minit permainan. Beliau digantikan dengan Hakimi Abdullah pada minit ke-13.

TFC terus memebuat gerakan melalui gaya permainan “short pass” mereka, dan gerakan daripada Faiz Nasir mengucar-kacirkan benteng pertahanan Sri Pahang sehingga memberi ruang kepada Faisal Halim untuk menambah gol kedua pada minit ke 24.

Separuh masa pertama berakhir dengan TFC mendahului dua gol tanpa balas.

Memasuki babak kedua permainan, kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati. Dan bola dilihat lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. Memasuki minit ke-60, gerakan solo Habib Haroon hampir menembusi gawang Sri Pahang sekali lagi, namun sepakannya dihalang tiang gol pasukan pelawat.

Tok gajah juga dilihat tidak putus asa apabila beberapa gerakan yang dilakukan seakan membuka peluang untuk menjaringkan gol sehingga memaksa TFC melakukan terjahan ke atas penyerang mereka.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain sekali lagi membuat perubahan taktikal dengan mengeluarkan dua pemain sayap mereka Faiz Nasir dan Faisal Halim untuk digantikan dengan Nik Akif Syahiran dan Rahmat Makasuf.

Tiga minit masa tambahan diberikan oleh pengadil namun kedua-dua pasukan tidak berpeluang melakukan jaringan di separuh masa kedua. Derbi Pantai Timur berkesudahan TFC menang dua jaringan tanpa balas ke atas Sri Pahang sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua Liga Super.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Safee Sali Disahkan Demam Denggi, Bojan Hodak Pertaruhkan Romel Morales Di Posisi Serangan

Dickson Nwakaeme Umum Persaraan Daripada Sukan Bola Sepak

Pasukan Kedah Dikuarantin Sehingga 14 Ogos