Bekas penyerang Barcelona, Luis Suarez meminta maaf kepada penyokong Barcelona dan pada masa yang sama mengejek Ronald Koeman.

Suarez sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Barcelona. Pemain legenda yang menjadi penjaring ketiga gol terbanyak sepanjang zaman Barcelona itu menjaringkan gol dalam kemenangan Atletico ke atas Barca.

Suarez bukan sahaja menjaringkan gol, malah turut mencipta assist kepada Lemar dalam perlawanan tersebut. Di mana Atletico Madrid menang 2-0 ke atas Barcelona di Stadium Wanda Metropolitano.

Barcelona terus dihimpit krisis prestas selepas beberapa keputusan kurang memuaskan dalam beberapa perlawanan awal musim ini.

Kekalahan ini juga hadir selepas Barca kalah 3-0 di tangan Benfica sebelum ini dalam aksi Liga Juara Juara Eropah.

Suarez mengejek Koeman dengan memberikan isyarat mengangkat telefon. Sindiran kepada pengurus tersebut yang dikatakan sangat biadap ketika membuangnya dari Nou Camp, hanya dengan menggunakan panggilan telefon.

Layanan itu sukar diterima terutama sekali Suarez merupakan legenda Barcelona. Malah Lionel Messi sendiri dikatakan tidak selesa dengan cara Koeman ketika itu.

Suarez merayu agar dia terus dikekalkan di Barca. Malangnya menurut Koeman pemain itu terlalu tua untuk menjadi pemain utama pasukannya. Agak ironi tidak lama selepas itu, mereka menandatangani Aguero yang usianya pun sudah lebih 30 tahun.

Suarez menangis meninggalkan Nou Camp dan sangat kecewa. Suarez kemudian dijual ke Atletico. Pemain itu menjadi nadi utama Atletico menjuarai La Liga musim lalu mengatasi pesaing mereka termasuk Barcelona.