Pembatalan pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2021 seperti yang diumum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 31 Ogos lalu telah menimbulkan pelbagai reaksi terutama kebimbangan terhadap pembangunan pemain muda di negara ini ekoran ketiadaan dua saingan peringkat umur itu buat dua tahun berturut-turut akibat pandemik COVID-19.

Biarpun mengakui terpaksa akur dengan keputusan itu, beberapa wakil pasukan tampil menyatakan bahawa soal keselamatan dan kesihatan pemain muda secara keseluruhannya lebih penting memandangkan situasi semasa COVID-19 di negara ini dijangka masih tidak lagi menentu untuk tempoh beberapa bulan akan datang ini, sekali gus tindakan membatalkan terus Piala Presiden dan Piala Belia 2021 adalah tindakan yang wajar dibuat oleh FAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya percaya bahawa FAM telah berusaha melakukan perancangan dan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan kelulusan untuk dijalankan juga kedua-dua pertandingan ini, namun akur jika soal keselamatan dan kesihatan pemain menjadi faktor penghalang utama.

“Memang dari sudut pembangunan bola sepak itu sendiri, ia akan menyebabkannya sedikit terbantut kerana dua tahun pertandingan peringkat umur ini tidak dapat dijalankan. Seseorang pemain muda itu perlu mendapatkan jumlah perlawanan sebanyak ini untuk maju ke hadapan. Satu kerugian juga kepada pemain-pemain Terengganu FC III dan Terengganu FC IV.

“Tapi atas sebab keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan ketika ini, kami terpaksa akur dengan pembatalan ini. Saya percaya FAM yang juga sudah sedaya upaya mencuba pelbagai cara untuk dijalankan juga kedua-dua pertandingan ini sebelum terpaksa juga membatalkannya.

“Bagi saya, betul tindakan FAM ini untuk mengumumkan lebih awal pembatalan ini supaya pasukan tidak rugi dari segi kewangan untuk terus menunggu bila pertandingan hendak dijalankan yang mana kita sendiri tak pasti bila pihak berkuasa akan memberi kebenaran untuk kedua-dua pertandingan ini dijalankan,” kata Ab Rasid.

Ia turut dipersetujui oleh Ketua Pegawai Esekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali yang mengakui situasi bagi pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia ini berbeza dengan kebenaran yang diberikan pihak berkuasa untuk saingan Liga Super dan Liga Premier 2021 yang mana terdapat ramai lagi pemain-pemain dalam kategori remaja bagi dua pertandingan itu yang belum lengkap divaksin.

“Di pihak Kedah Darul Aman FC juga, kita akui yang pemain-pemain muda di era ini kerugian kerana ketiadaan pertandingan kompetitif sepanjang dua tahun ini. Tapi kita perlu tekankan soal keselamatan dan kesihatan pemain sebagai perkara yang lebih penting pada ketika pandemik COVID-19 ini.

“Kita tak boleh nak banding kenapa Liga Super dan Liga Premier boleh dijalankan. Ini kerana pemain tersebut kesemuanya telah lengkap divaksin. Tapi bagi pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia ini, masih ramai belum lengkap divaksin dan kita perlu faham mengenai bahaya dan risikonya nanti jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dijalankan, biarpun secara karnival sekali pun.

“Memang kita semua begitu risaukan soal pembangunan pemain tetapi bagi kami, dalam situasi pandemik yang masih tidak menentu dan pulih sepenuhnya ini, keputusan FAM membatalkan Piala Presiden dan Piala Belia 2021 satu keputusan yang tepat dan kita sebagai pasukan bertanding akur demi keselamatan dan kesihatan semua pemain,” ujar Khamal Idris.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz, situasi tidak menentu bila sepak mula kedua-dua pertandingan ini boleh dijalankan sama ada pada Oktober atau lebih lewat lagi akan lebih menyukarkan persediaan pasukan-pasukan bertanding jika FAM tidak mengumumkan keputusan pembatalan itu lebih awal seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“Memang dari sudut negatif, pembatalan buat tahun kedua berturut-turut ini telah membantutkan proses pembangunan pemain di negara ini. Tapi melihat kadar
kes baharu di seluruh negara yang mana ada negeri yang turun dan ada negeri yang semakin naik kesnya, ia agak membimbangkan juga.

“Tapi kami faham yang soal keselamatan dan kesihatan pemain juga penting yang mana dalam pasukan kami sendiri pun, masih ramai pemain Piala Presiden dan Piala Belia belum lengkap divaksin. Begitu juga untuk pemain-pemain dari pasukan lain yang saya kira ia akan memberi risiko tinggi jika pertandingan ini diteruskan juga.

“Lagipun sekarang sudah masuk bulan September dan jika ingin diteruskan juga, takkan nak dijalankan pada bulan Oktober atau November. Sepatutnya waktu begini kita sudah mula persiapan untuk musim baharu. Jadi bagi kami, keputusan pembatalan ini adalah tepat supaya semua pasukan sudah boleh mulakan persiapan menjelang musim baharu yang dijangka bermula seawal Februari 2022,” kata Wan Mohd Zul Ikman.