Malaysian Football League (MFL) telah menerima kunjungan delegasi dari Cambodian Premier League (CPL) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satoshi Saito.

Kehadiran 30 wakil CPL itu yang terdiri daripada pegawai bahagian pengurusan, penyiaran, pertandingan, komisioner perlawanan dan wakil kelab-kelab CPL dan Cambodian League 2 adalah bagi mendedahkan CPL kepada aspek pengurusan liga bola sepak profesional Malaysia selain bertukar-tukar pandangan menerusi satu taklimat yang diadakan oleh MFL.

Delegasi CPL itu diberikan taklimat mengenai pengurusan dan penstrukturan Liga Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam disusuli penerangan mengenai Perundangan, Pertandingan, Pelesenan Kelab MFL dan juga diikuti oleh pembentangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kunjungan ke Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam.

Stuart dalam ucapannya mewakili Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan wakil dari CPL ini.

Sementara itu bagi, Saito yang pernah menjadi Pengurus Pemasaran Antarabangsa kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, mereka amat gembira kerana dapat meraih pengetahuan baharu mengenai selok-belok pengurusan Liga Malaysia kerana beliau percaya setiap negara mempunyai cabaran tersendiri untuk berkembang dan mengakui ia boleh menjadi input yang baik untuk dipelajari kelab-kelab di Kemboja memandangkan Malaysia adalah satu satunya Liga negara Asean yang sedang menonjol.

Antara yang menarik perhatian beliau adalah peningkatan prestasi kelab-kelab Liga Malaysia di peringkat Asia khususnya JDT dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang semakin dikenali susulan persembahan cemerlang di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC musim ini.

“Saya pernah bekerja di Barcelona dan selain itu melihat juga bagaimana La Liga mendominasi, itu juga yang saya lihat bagaimana kelab Liga Malaysia semakin berkembang.

“Dengan saingan yang semakin tinggi di sini sememangnya menggalakkan juga kelab-kelab bola sepak di Kemboja untuk turut sama belajar sesuatu daripada liga di sini.

“Kami jelas mengenali JDT dan kami amat berbesar hati kerana pihak JDT membentangkan strategi pengurusan komersil dan kelabnya kepada kami yang memberi input yang amat berharga kepada wakil kelab CPL.

“Kami juga bertuah sempat mengunjungi pusat latihan pasukan Selangor FC dan mereka juga adalah kelab yang besar di mana kami melihat mereka menunjukkan usaha dan komitmen untuk terus maju. Ia adalah pengalaman yang baik untuk wakil kelab kami juga.

“Secara keseluruhan, apa yang kami peroleh di bengkel yang dianjurkan kali ini begitu bermakna dan kami berbesar hati untuk menerima kehadiran MFL pula ke Kemboja tahun depan,” kata Saito yang pernah memikul tugas sebagai Pengarah Pemasaran AFC.

Kesemua Delegasi CPL turut berkesempatan berkunjung ke AFC House dan kemudian hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Kemboja pada Jumaat.