Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menerima kunjungan daripada delegasi firma bola sepak terkemuka dari Belgium iaitu Double Pass bagi mengukur tahap keupayaan Harimau Selatan untuk dijadikan sebagai penanda aras sebaris dengan kelab-kelab elit dunia.

Menurut kenyataan daripada Johor Southern Tiger, kunjungan itu juga adalah untuk memastikan JDT memenuhi piawaian antarabangsa, sejajar dengan impian DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja dan juga pemilik kelab tersebut.

Delegasi Double Pass terdiri daripada Ketua Produk dan pengasasnya iaitu Prof. Dr. Jo van Hoecke bersamaa Perunding Kanan Bola Sepak, Ariel Jacobs. Mereka turut dibawa  meninjau kemudahan fasiliti yang terdapat di JDT dan akan mengkaji struktur JDT dalam segala aspek dari akademi sehingga pasukan senior dan pengurusan.

71680371_1463615540468407_6555189394523815936_n
FOTO: JST

Van Hoecke merupakan Profesor Pengurusan Sukan di University of Brussels. Beliau juga berpengalaman luas dalam menilai aspek pembangunan akademi bola sepak di Belgium dan pernah dilantik sebagai panel penilai dalam sistem pembangunan akar umbi kelab Liga Jerman (Bundesliga).

Manakala Jacobs pula telah memainkan beberapa peranan penting dalam bola sepak Belgium, termasuklah selaku Pengarah Akademi Belia Belgium FA, Jurulatih Belia Belgium (kategori Bawah-14 hingga Bawah-23), Penolong Jurulatih Pasukan Kebangsaan Belgium, Ketua Jurulatih beberapa kelab di Belgium dan Pengarah Teknikal KRC Genk. Belgium kini berada di kedudukan pertama dalam ranking dunia FIFA.

72715390_1463608490469112_5712332479642206208_n
FOTO: JST

“Double Pass merupakan rujukan antarabangsa berkenaan perbandingan penanda aras dan pembangunan bakat dalam sukan dan bola sepak. Double Pass telah bekerjasama dengan hampir 700 kelab profesional dari Premier League, J.League, U.S. Soccer, Bundesliga serta banyak lagi,” kata kenyataan daripada JST.

Ternyata Tunku Ismail begitu serius untuk meletakkan JDT sebagai sebuah kelab bola sepak yang terbaik di Asia dan menjadi penanda aras kepada landskap bola sepak tanah air.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan JDT dalam Liga Malaysia.

Carlos Tevez Bakal Sertai JDT Musim Depan?

Pemain JDT Terima Rawatan Daripada Pakar Bedah Berkelas Dunia

Delegasi JDT Ke Itali Belajar Cara Pengurusan Bola Sepak Juventus