Legenda bola sepak Itali, Alessandro Del Piero yang mengalu-alukan kehadiran semula Romelu Lukaku ke saingan Serie A menganggap penyerang Chelsea itu tidak sesuai dengan corak permainan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Cemerlang bersama Inter Milan dengan meledakkan 47 gol pada dua musim di Serie A, Lukaku kemudiannya memilih untuk kembali ke England bagi menyarung jersi Chelsea setelah beliau membantu I Nerrazzuri menjuarai kempen liga 2020/21.

Pemergian dengan tanda harga €115 juta itu bagaimanapun tidak berjalan seperti diharapkan apabila penyerang berusia 29 tahun tersebut gagal untuk membuktikan kemampuannya.

Lukaku hanya mampu menjaringkan lapan gol pada 26 aksinya dalam kempen EPL dan ada ketikanya memaksa Thomas Tuchel menggunakan khidmat Kai Havertz selaku ‘false nine’.

Musim yang nyata amat mengecewakan itu menyaksikan Lukaku mahu membuat pusingan U sekali gus kembali ke Inter Milan. Satu keputusan disambut baik oleh Del Piero kerana beliau melihat ia sesuatu yang hebat buat bola sepak Itali.

Kredit Foto: Chelsea FC

“Kini, Liga Perdana Inggeris ialah bola sepak yang terbaik dimana anda boleh melihat daripada aspek berapa banyak pasukan mereka yang boleh beraksi dengan baik di peringkat tertinggi.”

“Itulah yang berlaku dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, bagaimana cara mereka beraksi adalah jawapannya,” ujar Del Piero menurut kenyataan dikeluarkannya di Football Italia.

“Ia adalah jenis sukan yang berbeza pada ketika ini. Kelihatannya dalam Liga Perdana memerlukan anda untuk lebih banyak berlari, anda perlu lebih fizikal dan lebih kuat.”

“Ia sama sekali tidak begini di Itali kerana di Itali kami juga mempunyai keadaan seperti ini tetapi Itali dalam keadaan sangat bergelut sekarang ini, pasukan kebangsaan dan juga dalam pasukan kelab.”

“Jadi, pada musim lalu telah sedikit membuktikannya. Roma memenangi [Europa Conference League] merupakan keadaan yang baik untuk masa hadapan di kejohanan Eropah.”

“Jadi, Lukaku kembali ke Inter dan Pogba untuk Juventus akan menjadi langkah hebat juga buat bola sepak Itali untuk kembali kuat dan mempunyai ‘suara’ dalam Liga Juara-Juara Eropah terutamanya,” tambah Del Piero lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

AFC Cup 2022: Pemain Kebangsaan Jordan Perkuat Jentera Tengah Kedah

Chelsea Yakin Mendapatkan Raheem Sterling Dengan Harga Mampu Milik

Syarikat Terkemuka Thailand, Carabao Diumumkan Sebagai Rakan Kongsi Rasmi Kerteh FC