Persatuan bola sepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan senarai 29 orang pemain yang telah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula hari Khamis, 19 Mei 2022 sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei dan Hong Kong serta saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Berdasarakan senarai tersebut, pengendali negara, Kim Pan Gon mengekalkan 20 pemain daripada pemain yang dibawa ke Singapura bagi dua perlawanan FAS-Tri Nations Series 2022 bertemu Filipina dan Singapura pada bulan Mac lalu.

Lebih mengejutkan, penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula kembali dipanggil bersama pemain berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha. Turut dipanggil ialah Matthew Davies, Junior Edstal, Nazmi Faiz Mansor, Afiq Fazail, Syahmi Safari dan Darren Lok.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi antara muka baharu yang turut dipanggil menyertai kem latihan pusat kali ini.

11 pemain berada dalam senarai bersedia iaitu Aidil Zafuan, Ramadhan Saifullah, Natxo Insa, Sharul Nazeem, Shahrel Fikri, Zhafri Yahya, A. Selvan, Khatul Anuar, Rizal Ghazali, Shamie Iszuan dan Arif Fadzillah.

Bagaimanapun, daripada 40 pemain (29 yang dipanggil dan 11 pemain dalam senarai bersedia) hanya 23 pemain yang akan didaftarkan dalam senarai akhir bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 manakala baki 17 pemain yang lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan dalam senarai akhir tersebut.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun. Kemudian mereka akan menghadapi 3 perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun 2022) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Para penyokong masih boleh mendapat tiket semua perlawanan tersebut pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Tiket Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Sudah Mula Dijual

Sukan SEA: Dua Jaringan Luqman Bantu Malaysia Tewaskan Laos

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil