Malam ini skuad Harimau Malaya akan bertemu Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi persahabatan terakhir sebelum menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula pada minggu hadapan.

Ia juga merupakan peluang terakhir kepada 29 pemain yang menyertai kem latihan pusat sejak minggu lalu untuk membuktikan kemampuan mereka sebelum disenarai pendek kepada 23 pemain akhir.

Penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula antara pemain yang sering menjadi mangsa kritikan peminat bola sepak tempatan walaupun berjaya menjaringkan gol ketika menentang Brunei.

Namun begitu, De Paula menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus meledak gol demi membantu Malaysia layak ke Piala Asia secara merit. Beliau tekad hadiahkan kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Saya tahu apa yang saya perlu buat, kadang-kadang ada saat yang baik dan kadang-kadang tidak baik. Perkara ini adalah lumrah dalam bola sepak.

“Bagi saya kritikan seperti pembakar. Saya hanya bekerja keras dan cuba memberikan yang terbaik untuk pasukan. Setiap penyerang sudah pasti mahu menjaringkan gol.

“Cuma, kadang-kadang kami tak dapat jaringkan gol, tapi kalau rakan sepasukan menjaringkan gol, saya akan bangga dan gembira,” katanya dipetik dalam Berita Harian. 

Selain menyumbang satu gol, De Paula juga tampak memberikan impak lebih positif berbanding sebelum ini yang mana dia kelihatan lebih rajin untuk bergerak dan mendapatkan bola.

Pemain yang berusia 35 tahun itu turut berjaya membuat satu ‘assist’ kepada Faisal Halim ketika mereka menewaskan Brunei 4-0. Malah, seluruh penyokong di dalam stadium ketika itu melaungkan namanya untuk memberi semangat tambahan.

Saksikan semua perlawanan skuad Harimau Malaya secara langsung di saluran TV9 atau boleh klik https://tonton.com.my/live/tv9

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Masalah Sinus Semakin Teruk, Syahmi Safari Terlepas Aksi Kelayakan Piala Asia 2023

Kim Pan-gon Beri Bayangan Kekalkan Corak Permainan Bertemu Hong Kong

Sukan SEA: Dua Jaringan Luqman Bantu Malaysia Tewaskan Laos

Brad Maloney: Pemain Begitu Bersemangat Untuk Beraksi