Pertahanan tengah kelahiran Belanda, Matthijs De Ligt tanpa berselindung mengakui kelab lamanya, Juventus merupakan pasukan yang tidak bercita-cita tinggi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Keadaan tersebut membuatkan beliau memilih untuk berhijrah ke Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas tiga musim bersama kelab dari Turin itu.

Juventus yang merupakan juara edisi 1985 dan 1996 hanya mampu berada di peringkat 16 sejak De Ligt mula beraksi bersama kelab itu pada musim 2019/20.

Pada musim 2019/20, mereka tumpas ditangan Lyon menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2, kemudiannya turut kecewa menerusi format sama kepada Porto (seri 4-4) dan musim lalu tumpas 1-4 kepada Villarreal.

Tiga pasukan yang dihadapi itu tidaklah mempunyai reputasi yang terlalu hebat pada ketika ini berbanding dengan kualiti hebat dimiliki Juventus.

“Saya sangat menikmati waktu saya di Juventus, tetapi saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya mendapatkan cabaran baharu.”

“Anda harus berani untuk mengambil risiko dalam bola sepak,” ujar De Ligt menurut laporan Goal Indonesia.

“Juve adalah merupakan sebuah pasukan yang hebat. Tetapi saya datang ke sini [Bayern Munich] adalah lonjakan lebih tinggi buat saya, kerana Bayern mempunyai segalanya dari sudut pandang pasukan.”

“Bayern juga memiliki cita-cita tinggi untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Saya tidak merasakan keadaan seperti itu ketika bersama Juventus.” tambah Matthijs De Ligt lagi.