Dalam aksi di antara Norwich City dan Manchester United, Victor Lindelof mengalami kesukaran bernafas dan terpaksa dikeluarkan.

Lindelof mendakwa dia mengalami sakit di bahagian dada yang agak teruk. Insiden itu membuatkan ramai tertanya tanya, adakah Lindelof menghadapi masalah yang sama dengan Aguero?

Beberapa bulan lalu, Aguero mengalami masalah pada kadar degupan jantungnya yang lemah. Membuatkan pemain itu diusung keluar padang dan kemudian menjalani rawatan rapi.

Tidak lama selepas itu, Aguero mengumumkan bahawa beliau terpaksa bersara atas nasihat pakar perubatan.

Selain daripada Aguero, pada temasya Euro 2020 yang lalu, Christian Eriksen mengalami masalah jantung. Mujur Simon Kjaer dan rakan rakannya bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan sementara petugas medikal bergegas ke dalam padang.

Dalam insiden yang berlaku di Carrow Road pula, Lindelof meminta bantuan petugas medikal selepas mendakwa dia sukar bernafas.

Ralf Rangnick menerima isyarat daripada pegawai perubatan bahawa pemain itu harus digantikan segera dan Eric Bailly dimasukkan menggantikannya.

David De Gea memberikan komen beliau tentang insiden itu.

“Kita melihat sebelum ini ada beberapa pemain yang terasa tidak selesa [dengan pernafasan mereka],” kata De Gea merujuk kepada beberapa insiden sebelum ini.

“Kita sudah melihat Eriksen, Aguero dan sangat sukar untuk melihat pemain kita dilanda masalah seperti ini.”

“Tindakan terbaik adalah menukarkan mereka segera. Saya berharap dia benar benar baik baik sahaja selepas ini. Permainan ini, bola sepak bukannya paling penting. Soal nyawa, kita harus kekal selamat.”

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick turut memberikan komen tentang insiden tersebut. Menurut Rangnick, situasi Lindelof masih terkawal dan berharap pemain itu akan bersedia beraksi pada Selasa ini.

“Victor ada masalah bernafas, kerana kadar denyutan jantungnya lebih tinggi daripada normal. Dia agak terkejut dengan keadaan.”

“Dia tak begitu ingat bagaiman ianya boleh berlaku kerana dia ada bertembung dengan pemain lain. Selepas perlawanan, pegawai kami terus memeriksa beliau.”

“Nampak gayanya, semuanya baik baik sahaja, namun masih juga kami perlu terus memantau keadaan beliau. Harapan saya, dia akan cergas sepenuhnya untuk aksi berdepan Brentford pada Selasa.”

Dalam aksi tersebut, Manchester United menang tipis 1-0 hasil gol penalti oleh Cristiano Ronaldo. Meneruskan lagi kebangkitan mereka sejak dibimbing Ralf Rangnick.

Baca juga artikel

EPL: Rangnick Anggap Manchester United Bernasib Baik Kerana De Gea

EPL: Dua Penalti Jorginho Pastikan Kebangkitan Chelsea Tewaskan Leeds

EPL: Penalti Mo Salah Berikan 3 Mata Untuk Liverpool Pada Hari Kepulangan Gerrard Ke Anfield