Alphonso Davies tidak dapat menahan sebaknya ketika menyaksikan rakan rakannya beraksi di atas padang dan memuktamadkan kelayakan mereka ke Piala Dunia 2022.

Kanada akhirnya berjaya melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya pada 1986, ataupun 36 tahun yang lalu, ketika Piala Dunia dianjurkan di Mexico.

Di mana mereka ketika itu kalah 3 perlawanan dan menamatkan saingan di tangga terakhir peringkat kumpulan.

Kanada menang 4-0 ke atas Jamaica dalam aksi di Padang BMO di Toronto pada Ahad.

Kejayaan mara ke Piala Dunia ini menyambung kecemerlangan bola sepak wanita mereka yang memenangi acara bola sepak wanita dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Piala Dunia 1986 merupakan satu satunya Piala Dunia yang disertai Kanada di dalam sejarah bola sepak mereka.

Lebih manis apabila Kanada berjaya mengharungi pusingan kelayakan kali ini tanpa sebarang kekalahan.

Kanada turut menang ke atas pasukan yang dianggap paling kuat secara tradisi dalam pusingan kelayakan serantau mereka iaitu Amerika Syarikat dan Mexico. Kanada menang di tempat sendiri dan di tempat lawan.

Jadi, selayaknya Kanada menjadi negara yang layak ke Piala Dunia pada kali ini.

Davies yang merupakan ayam tambatan utama Kanada, tidak dapat menyertai rakan rakannya dalam beberapa perlawanan kelayakan terakhir kerana perlu berehat.

Ianya selepas dia mengalami myocarditis selepas terkena jangkitan Covid-19. Dia dinasihatkan untuk berehat beberapa bulan.

Lihat sendiri detik Alphonso Davies ketika meraikan kejayaan negaranya layak ke Piala Dunia Qatar 2022.

Bek sisi Bayern Munich itu pastinya sangat bangga kerana dia dianggap sebagai salah seorang bakat elit dalam generasinya.

Kini dia boleh berdiri sama tinggi dengan rakan rakannya yang lain ketika di Bayern nanti.

Davies juga merupakan pemain paling penting dalam pasukan Kanada pada pusingan kelayakan kali ini.