Pemain tengah dari Sepanyol, David Silva dilaporkan bakal menyertai kelab dari Qatar, Al Duhail setelah kontraknya bersama Manchester City tamat pada 30 Jun ini.

Sebelum ini beliau dikatakan akan pulang ke Sepanyol menamatkan karier bola sepaknya di sana atau mungkin ke Amerika Syarikat sertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami.

Bagaimanapun, menurut wartawan Sport Witness, Miguel Rico, pemain yang berusia 34 tahun itu memilih untuk mencuba angin baharu di timur tengah.

Silva telah beraksi bersama Manchester City sejak tahun 2010 dan beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berhijrah ke tempat baharu setelah membantu pasukan itu meraih pelbagai kejuaraan seperti Juara Liga Perdana Inggeris (4 kali), juara Piala FA (2 kali) serta Piala Perisai Komuniti (3 kali).

Bekas juara Piala Dunia 2010 ini turut menjaringkan 57 gol dalam 301 penampilan dan dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dengan penularan wabak pandemik COVID-19, peminat Manchester City tidak berpeluang untuk menyaksikan kelibatnya buat kali terakhir di Stadium Etihad apabila perlawanan Liga Perdana Inggeris kembali minggu ini tanpa kehadiran penonton.

“Saya minta maaf. Saya sudah berada di sini selama 10 tahun dan saya sudah mencapai apa yang saya mahukan.

“Kitaran ini berakhir di sini, tetapi saya akan sentiasa mengingati kelab ini. Sejak hari pertama, semua orang melayan saya dengan baik. Di sini mereka sangat menghormati anda, orang memberi penghargaan kepada anda. Sekarang keluarga saya dan saya memerlukan cabaran baharu,” kata Silva dipetik dalam Sportbible. 

Al Duhail merupakan pendahulu Liga Qatar musim ini dengan 42 mata selepas mengharungi 17 perlawanan. Jika menjadi juara, mereka akan mendapat tiket automatik ke peringkat kumpulan AFC Champions League 2021 dan pusingan pertama Piala Dunia Kelab 2020.

Selain Silva, Al Duhail turut diperkuatkan oleh dua bekas pemain Juventus, Mario Mandzukic dan Medhi Benatia. Liga Qatar turut mempunyai seorang bekas gandingan Silva dalam skuad kebangsaan Sepanyol iaitu Xavi Hernandez yang merupakan pengurus Al Sadd SC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Ini Strategi Bagaimana Jersi Buriram United Laku Keras, Sasar Jualan 30,000 Helai Jersi Bernilai RM2.85 Juta!

Li Tie Harap Lebih Ramai Pemain Naturalisasi Dapat Sertai Skuad China

Thailand Mahu Dapatkan Khidmat Thanawat Suengchitthawon Bagi Sertai Skuad B-23 Tahun