Pemain tengah pasukan Kedah, David Rowley perlu segera menampilkan persembahan terbaik beliau bersama skuad Hijau Kuning bagi membantu pasukannya menghidupkan semula peluang untuk berada dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super musim ini.

Rowley mendapat kritikan daripada peminat setia pasukan Kedah apabila beliau dianggap gagal untuk memberikan sebarang impak kepada pasukan khususnya di bahagian tengah apabila beliau diturunkan dalam kesebelasan utama.

David Rowley
Sumber Gambar: Kedah FA
David Rowley
Sumber Gambar: Kedah FA

Apabila Rowley dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019 Mei lalu, peminat meletakkan harapan tinggi dan mahu melihat pemain kacukan itu menghidupkan bahagian tengah pasukan. Namun, setakat dua perlawanan Liga menentang Johor Darul Ta’zim dan Pahang, Rowley gagal untuk menampilkan persembahan terbaik beliau.

Bekas pemain Kelantan dan Negeri Sembilan ini bukan sahaja gagal untuk menghidupkan bahagian tengah Kedah, malah beliau juga tidak mampu untuk membantu Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez di bahagian serangan ketika merencanakan gerakan ke kubu pertahanan lawan. Perkara tersebut sedikit-sebanyak menjejaskan peluang Kedah untuk mencari jaringan sekaligus meraih tiga mata.

David Rowley
Sumber Gambar: Kedah FA

Pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu akan berkunjung ke Stadium Shah Alam bagi menghadapi pasukan PKNS FC malam ini. Kedah perlu meraih tiga mata jika mereka mahu memintas Selangor dan Pahang yang ketika ini menduduki tangga ketiga dan kedua dalam carta Liga Super.

Kedah ketika ini menduduki tangga keempat dengan kutipan 23 mata, dibezakan 2 mata dengan pasukan Selangor dan 4 mata dengan pasukan Pahang.