Sebentar tadi, Datuk Verdon Bahanda telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai status beliau yang kini bukan lagi memegang jawatan CEO Sabah FC serta semua tanggungjawab dalam syarikat Sabah Football Club Sdn Bhd (SFCSB).

Baca kenyataan penuh beliau yang dipetik dari laman sosial Facebook beliau seperti dibawah.

“Dengan segala hormatnya saya mengesahkan bahawa saya tidak lagi menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga tugas sebagai Pengarah serta menamatkan semua tanggungjawab saya dalam Sabah Football Club Sdn Bhd (SFCSB) berkuatkuasa hari ini 21 Disember 2020.”

“Ini adalah ekoran dari pertemuan saya dengan YB Dato’ Sri Bung Mokthar Radin kemarin, 20 Disember 2020 dimana beliau telah memaklumkan keputusan SAFA untuk merombak kepimpinan dalam SAFA dan juga dalam Sabah FC. Dalam pertemuan tersebut, saya telah dimaklumkan SAFA akan membayar balik semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan.”

“Saya sedar, walaupun saya adalah pemilik saham terbesar dalam Sabah FC iaitu mempunyai pegangan sebanyak 70% berbanding SAFA yg memiliki 30% tetapi saya masih perlu mendapatkan mandat dari semua pihak berkepentingan dalam SFCSB untuk membuat keputusan-keputusan kritikal dan keputusan besar sepanjang masa walaupun di bawah pemilikan saya, saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi menyediakan semua keperluan Sabah FC termasuk kewangan dari dana saya sendiri bagi musim hadapan dan juga menyelesaikan semua tunggakan hutang SAFA.”

“Ramai yang sedar bahawa kehadiran saya dalam Sabah FC adalah untuk menyelamatkan keadaan dengan menyelesaikan beberapa perkara asas bermula dari masalah kewangan dengan menggunakan dana saya sendiri untuk membayar tunggakan hutang yang ditanggung oleh SAFA dan seharusnya, saya mempunyai hak untuk mendapatkan hak pemilikan dalam Sabah FC memandangkan kedudukan saya sebagai CEO yang dilantik adalah sangat rapuh dan boleh dilucutkan bila-bila masa mengikut kehendak kepimpinan SAFA dan akhirnya, SAFA secara sebulat suara dalam mesyuarat SAFA pada 5 Disember 2020 telah setuju untuk memberikan hak 70% saham SFCSB kepada saya.”

“Selepas mendapat hak pemilikan dalam Sabah FC, saya merasakan semua masalah sudah selesai dan saya boleh menumpukan sepenuhnya usaha untuk memantapkan pasukan serta memperbaiki kelemahan yang ada tetapi malangnya, drama beberapa individu di dalam SAFA tidak berakhir lagi.”

“Apapun, saya hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak saham saya dalam SFCSB kepada SAFA dan perletakan jawatan dalam semua jawatan saya selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan sebelum ini.”

“Saya dengan ini memohon maaf kepada semua pihak khususnya penyokong Sabah FC sekiranya terdapat kesilapan yang saya lakukan sepanjang tempoh saya mengendali pasukan Sabah FC yang cukup singkat ini.”

“Percayalah, apa saja yang saya lakukan adalah usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian dari keputusan yang saya buat adalah di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan Sabah sebelum ini.”

“Saya juga mohon maaf seikhlas dan setelus hati saya kepada semua pemain Sabah FC yang sudah pun mula menjadi sebahagian dari hidup saya beberapa minggu ini kerana terpaksa meninggalkan pasukan Sabah FC terlalu awal. Anda adalah permata yang cukup berharga dan saya percaya anda semua akan terus menabur bakti kepada pasukan Sabah tercinta kita. Janganlah jadikan kemelut dalaman pengurusan ini sebagai batu halangan untuk anda mencapai kejayaan.”

“Saya mendoakan sentiasa agar Sabah FC terus maju jaya di bawah pengurusan yang baru dan saya yakin, dengan kepimpinan YB Dato Sri Bung Mokthar Radin sebagai peneraju baru SAFA akan dapat memberikan impak yang besar kepada kemajuan bola sepak SABAH khususnya Sabah FC.”