Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida terkemuka, Datuk Seri Vida mengakui beliau sedia mengambil alih kelab bola sepak TRW Kelantan daripada ZamSaham demi menyelamatkan pasukan itu.

TRW Kelantan kini dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu pokok berkaitan tunggakan gaji.

Hasrat itu bukan main-main kerana beliau menegaskan akan menguruskan pasukan secara profesional dan melantik anaknya yang dikenali sebagai Kacak sebagai pengurus.

“Kali ini benar-benar saya sedia ambil alih Kelantan FC, di mana anak saya Kacak (Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin) akan menguruskan sepenuhnya pasukan demi menyelamatkan TRW (skuad The Red Warriors).

“Kita tak akan buat begitu (jadikan TRW alat pemasaran syarikat). Kalau jadi, anak saya yang akan uruskan pasukan Kelantan kerana saya lihat anak saya amat minat dengan bola sepak.

“Disebabkan minat mendalam, saya percaya Kacak boleh membawa semula kegemilangan TRW yang dah hilang sekarang ke tahap membanggakan,” tegas Vida dipetik dalam Berita Harian.

Pada musim 2015/2016, Datuk Seri Vida menerusi produknya Pamoga Qu Puteh pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan lebih daripada RM16 juta untuk dua musim.

Selain itu, beliau juga menegaskan tidak akan menukar warna Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu kepada warna kegemaran iaitu merah jambu serta tidak masuk campur dalam urusan pasukan.

“Saya hanya berada di belakang tabir dan tak akan gunakan TRW untuk syarikat. Malah, kalau sebelum ini saya pernah tukar warna TRW kepada warna ‘pink’ (merah jambu) sebelum ini, tapi kali ini tidak sebab saya takkan campur hal syarikat dengan pasukan,” katanya.

Malah, Vida juga mengesahkan rundingan tidak rasmi sudah diadakan bersama ZamSaham mengenai hasratnya itu.

“Kalau kena cara saya mahu ambil semula. Dulu masa saya dengan TRW, tak ada pun masalah tunggakan gaji. Apa yang berlaku sekarang memang menjatuhkan maruah Kelantan. Saya harap perbincangan ke arah itu berjaya nanti,” katanya.