Sebelum ini, setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mempelawa mana-mana jutawan yang berminat untuk menjadi pemilik pasukan ibu kota itu dengan bayaran RM13 juta sebagai langkah penswastaan kelab.

Pemisahan FA ke FC itu telah pun diarahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada kelab-kelab yang bertanding pada Februari 2020, dan diwajibkan menyelesaikan proses tersebut sebelum 30 September 2020.

Malah, Nokman dalam satu kenyataan di Utusan Malaysia hari ini mengesahkan pihaknya akan berunding dengan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman (Dr. Vida) yang menyatakan minat untuk memiliki pasukan Liga Malaysia.

“Setakat ini ramai yang sekadar bercakap kosong mengenai minat membeli Kuala Lumpur. Ada juga yang serius tetapi apabila diberitahu syarat-syaratnya mereka mahu berfikir dahulu.

“Seperti saya cakap sebelum ini syarat yang diletakkan adalah situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

“Berkaitan Dr. Vida kita mungkin mengadakan pertemuan de­ngan beliau minggu ini atau minggu depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada musim 2015/2016, Datuk Seri Vida menerusi produknya Pamoga Qu Puteh pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan lebih daripada RM16 juta untuk dua musim.

Kesanggupan usahawan kecantikan itu menaja Kelantan menyebabkan Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden KAFA ketika itu juga bersetuju melantik beliau sebagai Penasihat Kehormat Kelantan.

Selain itu, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu dicat dengan warna kegemaran Dr. Vida iaitu merah jambu serta penjenamaan semula pasukan Kelantan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Bagaimanapun, usahawan berkenaan mengambil keputusan menarik diri selepas mendapati tajaan berkenaan gagal memberi impak positif kepada pihaknya.

Dr. Vida pernah menaja pasukan Kelantan

Dr. Vida dalam satu kenyataan sebelum ini turut mengesahkan beliau sangat berminat untuk mengambil alih pasukan Liga Malaysia.

“Ya, saya mahu kembali dalam bola sepak. Saya sedang melihat profil beberapa pasukan yang dirasakan sesuai. Kali ini saya melihat pasukan ‘underdog’, tetapi ada potensi untuk diketengahkan.

“Kalau taja pasukan sebegini nampak mudah sikit sebab tiada hutang dan paling penting, perbelanjaan pun tidak begitu tinggi. Mungkin kurang daripada RM10 juta pun sudah cukup.

“Cuma saya kena kaji dululah sebab banyak perkara perlu dipertimbangkan untuk kembali dalam bola sepak. Saya pun kena tengok apa pulangan yang saya dapat dan apa yang pasukan itu boleh beri kepada saya.

“Kalau boleh mencapai persetujuan, boleh jadilah. Apapun, kita tengok dulu bagaimana,” katanya.

Difahamkan harga yang perlu dibayar untuk memiliki pasukan Kuala Lumpur merangkumi RM10 juta untuk pasukan utama dan juga RM3 juta untuk perbelanjaan skuad Bawah 21, Bawah 19, Bawah 17 tahun, skuad wanita, futsal dan bola sepak pantai.

Bagaimanapun, KLFA sedia berunding dengan pihak yang berminat dan mungkin harganya masih boleh dikurangkan lagi sehingga mencapai situasi menang-menang.

KLFA juga sudah menyenarai pendek tiga calon Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi menguruskan pengurusan pen­swastaan kelab tersebut musim depan.

Tempoh
Nokman Mustaffa. Sumber Gambar: MFL

Namun, Nokman turut menegaskan KLFA kali ini mengamalkan konsep yang berbeza dalam proses penswastaan dimana mereka masih menguruskan skuad Kuala Lumpur dari segi perlesenan.

“Buat masa ini penswastaan kelab ini kita lakukan dengan konsep masih dimiliki sepenuhnya oleh KLFA. Andai kata dalam beberapa bulan nanti ada individu atau syarikat yang mahu ambil sepenuhnya mereka boleh berbuat demikian.

“Lagipun, KLFA masih boleh ada pegangan sehingga dua tahun dalam pasukan sehingga ada pihak yang betul-betul mahu ambil alih. Cuma bagi kita mudah saja perlu ada situasi menang-menang. Lagipun daripada segi pelesenan dan sebagainya masih diuruskan KLFA,” katanya.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Ini Hujah Kelebihan TRW Kelantan FC Disenaraikan Dipasaran Saham, Jika Indonesia Boleh Mengapa Tidak Kelantan

CIMB Liga Super: JDT Berpesta Gol Belasah Perak

Ratusan Bungkus Maruku Terjual Dalam 2 Bulan, Indikator Awal ‘F&B Business’ Kerteh FC Semakin Kencang.