Baru-baru ini terdapat cadangan mengenai pemansuhan kejohanan Piala Malaysia pada musim ini bagi menyusun semula jadual perlawanan Liga Malaysia yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Langkah itu mendapat sokongan daripada beberapa pihak kerana selepas tempoh penangguhan Liga Malaysia berakhir, Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil kira jadual padat perlawanan di peringkat AFC Champions League dan persiapan pasukan kebangsaan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, menurut laporan daripada Bernama, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal memberikan pandangan yang berbeza dengan mencadangkan agar MFL ‘mengorbankan’ saingan Piala FA, bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia dapat dijalankan pada musim ini.

“Mungkin MFL boleh korbankan Piala FA untuk Piala Malaysia, kerana bagi saya Piala Malaysia ada nilai sejarah dan tradisi tersendiri. Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini, tidak boleh dinafikan.

“Tetapi Piala FA juga pertandingan yang menyeronokkan, saya percaya MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), pasti jumpa cara terbaik mendepani perkara ini. Keutamaan sekarang adalah semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam menghadapi Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan kalendar Liga malaysia 2020, saingan Liga Super dan Liga Premier yang bermula pada 29 Feb lalu, dijangka berakhir pada pertengahan Julai, manakala saingan Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada awal bulan Ogos 2020.

ENl0LV2U0AQz26U
Liga Malaysia 2020

Jika MFL membuat keputusan untuk mengekalkan Piala FA, beliau mencadangkan supaya format pertandingan diubah iaitu, satu perlawanan sahaja, bermula peringkat suku akhir berbanding aksi timbal balik.

Rajagobal menjelaskan langkah adalah untuk memendekkan tempoh perjalanan pertandingan, sekali gus memberi peluang kepada MFL untuk menganjurkan kejohanan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun 2020 jika kes wabak epidemik itu meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

Baca artikel lain berkaitan dengan isu jadual Liga Malaysia musim 2020 yang terjejas akibat wabak COVID-19. 

FAM Serahkan Kepada MFL Untuk Tentukan Status Piala Malaysia 2020

Penangguhan Liga Malaysia 2020 Dilanjutkan Mengikut Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Liga Malaysia Mungkin Ditangguhkan Sehingga Bulan Jun Jika Kes COVID-19 Bertambah

Sumber