Selepas kontraknya bersama PKNS FC tamat, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kini terpaksa mencari haluan baharu untuk meneruskan kariernya sebagai jurulatih bola sepak.

Menurut laporan daripada Sinar Harian, beliau berhajat untuk mencuba nasib melatih kelab di luar negara iaitu sebuah kelab daripada Liga Super India, Chennaiyin FC namun ia terpaksa dibatalkan kerana kelab tersebut telah melantik jurulatih lain.

“Sejujurnya, saya memang berminat membimbing kelab di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara. Antara yang menarik minat saya adalah kelab ISL iaitu Chennayyin FC.

“Saya sepatutnya pergi ke India untuk melihat situasi di sana. Malah, pegawai-pegawai kelab itu juga mengetahui kedatangan saya. Namun, setelah jurulatih Chennayyin FC (John Gregory ) meletakkan jawatan, pihak pengurusan kelab itu telah melantik jurulatlih baharu, Owen Coyle.

“Situasi itu menyebabkan saya terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana. Mungkin tiada rezeki saya melatih kelab itu,” katanya.

Bagaimanapun, Rajagobal sedia menerokai peluang untuk mengendalikan mana-mana pasukan di sekitar Asia Tenggara dan berharap pasukan tersebut masih belum memiliki ketua jurulatih.

“Saya rasakan mungkin saya patut cuba nasib di luar negara khususnya di rantau Asia Tenggara. Namun, ia akan dibuat dengan teliti agar tidak menganggu persiapan mana-mana pasukan yang sudahpun memiliki jurulatih,” jelasnya.

Jurulatih yang berusia 62 tahun itu memulakan karier kejurulatihan bersama PKNS pada tahun 1990 hingga 1998 sebelum mengendalikan Selangor, Kelantan, skuad bawah 19 tahun Malaysia, Harimau Muda A, bawah 23 tahun Malaysia dan Harimau Malaya.

Beliau juga membantu negara menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA pada tahun 2009 dan kemudian meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki pada tahun 2010.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Svay Rieng FC Jadikan Stadium Selayang Lokasi Rakaman Video Pengenalan Pemain Import Terbaru

AFC B-23 Tahun: Vietnam Raih Keputusan Seri Kedua Ketika Menentang Jordan

56,025 Penonton Hadir Ke Stadium Menyaksikan Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Sekolah Tinggi Jepun