Jodoh Datuk Ong Kim Swee bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berpanjangan apabila bekas pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu sah dilantik sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, Kim Swee akan menggalas tanggungjawab tersebut untuk tempoh setahun bermula bulan ini, namun memberi bayangan tidak akan memegang jawatan itu untuk satu tempoh panjang.

“Sudah tentu tugas saya tertumpu kepada pembangunan bola sepak dalam negara. Saya harap dengan adanya saya dalam unit ini dapat membantu serba-sedikit tentang pembangunan belia negara.

“Di peringkat pembangunan, kami harus tahu ia memerlukan masa dan saya tidak akan berada di sini selama-lamanya tetapi pembangunan pemain akan berlaku untuk masa yang panjang,” katanya.

Datuk Ong Kim Swee
Sumber Gambar: FAM

Beliau juga akan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk merangka beberapa program pembangunan akar umbi.

“Saya akan bekerjasama dengan Saad Ichalalene untuk merangka beberapa program mengikut hala tuju FAM, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA. Semua program pembangunan belia memerlukan masa yang panjang,” tambahnya.

Ong Kim Swee sebelum ini pernah membantu Malaysia meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA pada tahun 2011 dan pingat perak pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.

Pencapaian terbaik beliau membawa Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China sebelum melakar kejayaan membanggakan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut mengesahkan perkembangan itu meskipun Kim Swee gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) apabila skuad B-22 negara tersingkir awal dari temasya Sukan SEA di Filipina bulan lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Akira Nishino Letak Sasaran Thailand Beraksi Di Piala Dunia 2026

Akibat Menjual ‘Naming Rights’ Kepada Syarikat Kaji Selidik Online, Kelab Ini Dikenali Sebagai ‘Suzuka Point Getters FC’

Kelab La Liga Berminat Ambil Khidmat Chanathip Songkrasin