Skuad B-22 tahun negara hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu pasukan Myanmar pada perlawanan pertama saingan peringkat kumpulan A temasya Sukan SEA 2019 pada semalam.

Meskipun gagal untuk meraih tiga mata pada perlawanan pembukaan, pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee menegaskan perlawanan pertama sentiasa sukar dan beliau lega kerana meraih satu mata.

Datuk
Sumber Gambar: FAM

“Para pemain sedikit bergelut untuk mengawal permainan terutamanya pada separuh masa pertama. Tetapi mereka berjaya bangkit dan memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua.

“Perlawanan pertama sentiasa sukar lebih-lebih lagi apabila para pemain sudah lama tidak beraksi bersama. Satu mata yang diraih sangat bermakna menjelang tiga perlawanan yang akan kami hadapi.

“Keputusan ini jelas lebih baik daripada kami kehilangan tiga mata,” kata Datuk Ong Kim Swee dipetik daripada laporan Goal.com.

Kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli membawa padah apabila Soe Moe Kyaw membuka tirai jaringan pada minit ke-12. Namun, pasukan negara tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan apabila hantaran Akhyar Rashid bijak ditanduk oleh Hadi Fayyadh pada minit ke-23.

Pasukan negara mempunyai beberapa peluang untuk berada di hadapan antaranya menerusi sepakan percuma Adam Nor Azlin namun usaha tersebut gagal untuk membuahkan hasil.

Perlawanan pasukan kebangsaan selepas ini ialah menentang pasukan tuan rumah, Filipina pada Jumaat ini.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan B-22 tahun di sini:

Sukan SEA 2019: Malaysia, Myanmar Terpaksa Kongsi Mata Selepas Seri 1-1

Ini Keadaan Semasa Rizal Memorial Stadium, 7 Jam Sebelum Sepak Mula Acara Bola Sepak Sukan SEA 2019

Datuk Ong Kim Swee Anggap Semua Pasukan Miliki Peluang Sama Rata