Bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tidak meletakkan sebarang pilihan sama ada jurulatih tempatan atau luar negara adalah yang terbaik sebagai calon jurulatih kebangsaan menggantikan Tan Cheng Hoe.

Tegas Kim Swee, apa yang penting ialah penggantinya nanti perlu mempunyai KPI untuk layak ke Piala Asia 2023.

“Bagi saya sama ada jurulatih tempatan atau luar, yang penting semua pihak perlu beri kerjasama kepada sesiapa yang diberi mandat memikul tanggungjawab menggantikan Cheng Hoe.

“Pada hemat saya, ketika ini sesiapa sahaja jika diberi peluang mempunyai masa yang cukup untuk melengkapkan pasukan ke kelayakkan Piala Asia.

“Tetapi jurulatih baharu ini perlu diberikan KPI berjaya dalam kelayakkan Piala Asia dan bukan lagi demi pendedahan kerana jika tidak kita akan tetap berdepan masalah sama saban kali bedepan mana-mana kejohanan atau perlawanan,” katanya yang juga bekas Pengarah Teknikal FAM.

Kim Swee berkata, peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih negara perlu dihormati meskipun diambil sebelum bedah siasat dan laporan penuh Piala AFF 2020 dikeluarkan.

“Adalah lumrah sebagai jurulatih terutama yang mengendalikan skuad kebangsaan berdepan dengan risiko tinggi dan apa yang berlaku (peletakkan jawatan) sudah dijangka.

“Dalam skuad kebangsaan sememangnya keputusan dalam perlawanan sangat penting dan bila gagal semua pihak akan menuding jari namun sememangnya jurulatih akan mengambil tanggungjawab.

“Pastinya tindakan Cheng Hoe tidak mudah, namun saya yakin beliau mengambil langkah sedemikan demi kebaikkan semua pihak terutama skuad kebangsaan. Itu pilihan beliau, maka keputusan itu perlu kita hormati,” katanya

Dalam pada itu, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan semua pihak perlu menghargai jasa dan sumbangan Cheng Hoe sepanjang kerjayanya bersama skuad kebangsaan sejak 2005.

“Ketika membimbing skuad kebangsaan pula, secara keseluruhan bagi saya beliau adalah jurulatih tempatan yang berjaya. Itu kita tidak boleh lupa.

“Namun, apa yang penting sekarang kita perlu pandang ke depan dan bakal penggantinya perlu meletakkan kelayakkan Piala Asia 2023 sebagai misi dan KPI serta semua pihak harus beri kerjasama atau kita akan tetap mengulangi kegagalan sama,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan pasukan kebangsaan di sini:

Tan Cheng Hoe: Kami Tahu Pasukan Tiada Kemampuan Untuk Mara Ke Pentas Akhir

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama

Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?