Pengendali skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan peminat bola sepak tanah air tidak seharusnya mempersoalkan impian Wan Kuzain sekiranya beliau mahu beraksi bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat.

Menurut Datuk Ong, sekiranya Wan Kuzain mempunyai matlamat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat yang dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk tampil dalam temasya Piala Dunia berbanding Malaysia, maka semua pihak perlu menghormati impian tersebut.

Datuk Ong Kim Swee
Datuk Ong Kim Swee

“Kita kena faham di sini, setiap pemain bola sepak profesional, mereka sudah menyertai banyak kejohanan berprestij, dan sudah pasti Piala Dunia adalah paling didambakan.

“Perlu faham, Wan Kuzain sudah bertapak di AS, biarpun rakyat Malaysia. Walaupun ibu bapanya dari Malaysia tetapi dia dilahirkan dan membesar di sana selama ini.

“Janganlah terlampau sensitif. Bagi saya, dia macam anak kita, (sebab) jika anak kita sekalipun, kita pasti mahu yang terbaik untuknya,” kata Datuk Ong Kim Swee menurut laporan Utusan.

Baru-baru ini, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal meluahkan rasa kecewa beliau selepas beberapa laman media bola sepak tempatan mempersoalkan hasrat Wan Kuzain untuk beraksi bersama skuad B-23 tahun negara dalam kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina.

Datuk Ong Kim Swee
Wan Kuzain Wan Kamal

Tambah Datuk Ong, beliau menyambut baik sekiranya Wan Kuzain mahu mewakili skuad B 23 tahun negara dan juga pasukan senior kebangsaan.

“Dia mengumumkan kesediaan mewakili skuad B-23, sudah tentu juga ruang untuknya ber­aksi bersama Harimau Malaya akan terbuka.

“Saya tahu ramai yang mempertikaikan impiannya untuk bermain bersama AS dan enggan beraksi bersama Malaysia. Itu salah.

“Jika dia tidak berminat, takkanlah dia sendiri yang menawarkan diri untuk bersama skuad B-23?,” tambahnya.

Wan Kuzain ketika ini beraksi bersama Swope Park Rangers dalam saingan Major League Soccer (MLS).

Baca artikel lain mengenai Wan Kuzain di sini:

Wan Kuzain Bakal Berganding Dengan Luqman Hakim Dan Safawi Rasid?

Bapa Wan Kuzain Dedahkan Perkara Sebenar Mengenai Cerita Anaknya Mahu Mewakili Malaysia