Skuad B-23 tahun negara diletakkan dalam kumpulan A bagi menghadapi saingan bola sepak Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina dan ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah cabaran yang bakal dihadapi nanti.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan juga Timor Leste. Di atas kertas pasukan negara jelas menjadi pilihan untuk menjadi juara kumpulan. Namun, menurut satu laporan oleh Goal.com, Datuk Ong tidak mahu pasukan berasa selesa.

“Di atas kertas, undian tersebut nampak senang. Namun kita tidak boleh memandang rendah cabaran yang diberikan oleh pasukan lain kerana mereka telah melakukan persiapan awal. Jurang antara pasukan dibezakan dengan kemasukan dua pemain lebih umur yang sudah pasti bakal memberikan kelebihan kepada tuan rumah.

“Kami perlu memberi perhatian dalam setiap perlawanan. Cabaran akan semakin sukar di peringkat kalah mati jadi ketika ini kita tidak boleh memikirkan tentang pingat apa yang mahu kita peroleh. Kami menyasarkan pingat namun fokus ketika ini ialah saingan dalam peringkat kumpulan,” kata Datuk Ong Kim Swee.

Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan, Datuk Ong yang membimbing Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 menegaskan hanya akan mengeluarkan senarai pemain selepas pasukan senior menghadapi perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia pada 19 November ini.

Datuk Ong Kim Swee
Sumber Gambar: TM

“Saya hanya akan memilih dua pemain lebih umur setelah perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia. Selepas perlawanan itu baru kita tahu sama ada pemain yang dipanggil dapat menyertai pasukan atau sebaliknya.

“Kem latihan pusat akan bermula pada 4 November ini dengan 25 pemain dipanggil kecuali pemain yang beraksi bersama pasukan senior. Kami akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan, satu menentang pasukan tempatan dan satu lagi pasukan dari luar. Saya sedang menunggu pengesahan tentang pasukan mana yang akan kita hadapi,” tambahnya.

Saingan bola sepak lelaki akan bermula pada 26 November hingga 9 Disember.

Baca artikel lain mengenai skuad B-23 tahun negara di sini:

Sukan SEA 2019: Malaysia Diundi Dalam Kumpulan A

Ong Kim Swee Daftarkan 8 Pemain Senior Dalam Senarai Awal Skuad Sukan SEA