Ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim sekali lagi memberikan jawapan kontroversi apabila ditemu ramah selepas perlawanan setelah pasukannya tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2023.

Ketika ditanya apa kekurangan yang terdapat dalam pasukan Perak setelah tewas 5-0 kepada JDT, Teong Kim memberikan jawapan seolah-olah beliau menempelak wartawan yang bertanya soalan tersebut.

“Apa kekurangan Perak? Awak nampak sendiri permainan. Awak sendiri fikir. Awak bukannya tak nampak permainan. Siapa lihat dia tahu apa kekurangan kami,” kata Datuk Lim Teong Kim ketika ditemu ramah Astro Arena.

Jawapan Teong Kim itu jelas tidak digemari oleh peminat dimana rata-rata dari mereka kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh jurulatih yang mempunyai pengalaman luas seperti beliau.

Terdahulu, JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pemain pertahanan, Hasnul Zaim Zafri tertolak bola ke gawangnya sendiri dalam usaha beliau untuk memintas hantaran lintang dilakukan Arif Aiman.

Juara sembilan kali itu menambah jaringan kedua ketika permainan memasuki minit ke-25 apabila Leandro Velasquez menyudahkan sepakan penalti meskipun penjaga gol, Bryan See Tian Keat sudah dapat menepis sepakan tersebut.

Kedudukan terus berubah selepas Diogo Luis Santo mudah menolak masuk bola susulan hantaran lintang Fernando Forestieri pada minit ke-45 untuk kedudukan 3-0.

Gol keempat dihasilkan oleh Bergson da Silva berpunca daripada rembatan dalam kawasan penalti yang tidak mampu diselamatkan Bryan See pada minit ke-66 selepas beliau menerima lorongan baik daripada Arif Aiman.

Leandro menutup pesta jaringan di Ipoh itu dengan sepakan percuma yang terus menerjah gawang untuk menjadikan kedudukan 5-0.