Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal mahu pemain sedar hanya kemenangan dalam aksi ketiga kumpulan A Piala Malaysia 2019 menentang Kedah pada Jumaat bakal meletakkan semula mereka dalam kedudukan terbaik bagi pemburuan slot ke suku akhir.

PKNS FC ketika ini di tangga ketiga kumpulan A dengan 3 mata selepas raih kemenangan ke atas Negeri Sembilan minggu lalu manakala Kedah di tangga kedua selepas tewas kepada Terengganu.

Justeru, Rajagobal menyifatkan persaingan yang cukup sengit bakal ditampilkan pada Jumaat ini dengan Kedah pastinya dilihat pasukan pilihan untuk menebus kembali kekalahan di Stadium Darul Aman tempoh hari.

Staf kejurulatihan PKNS FC
Staf kejurulatihan PKNS FC
Sumber Gambar: PKNS FC

Datuk K.Rajagopal berkata: Kedua-dua pasukan sedar dan tahu di mana kedudukan kita setakat ini dalam kumpulan dan kita sememangnya tidak boleh leka walaupun sedikit.

“Saya mahu setiap pemain fokus dalam perlawanan Jumaat ini dan saya rasa pemain-pemain pun sudah dapat suntikan semangat selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan

“Saya percaya jika semua pemain ikut tunjuk ajar dan arahan selain disiplin yang tinggi, kemenangan itu mampu menjadi milik kita.

“Kita kena ambil kesempatan seberapa banyak mungkin ke atas Kedah dan tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihan beraksi di laman sediri kerana apa yang penting adalah fokus pemain itu sendiri.

Gabriel Guerra
Aksi Guerra bersama PKNS FC
Sumber Gambar: PKNS FC

Dalam masa sama, tonggak import PKNS, Gabriel Guerra enggan ketinggalan untuk mencipta impak sekali lagi bagi memburu gol peribadi selepas dia membantu pasukan raih kemenangan ke atas Negeri Sembilan menerusi dua jaringan yang dilakukannya.

Pemain dari Argentina itu tidak mahu momentum yang dicipta pada minggu lalu berlalu begitu sahaja untuknya memastikan prestasi yang lebih baik mampu ditampilkan menentang Kedah.

“Kami tahu Kedah satu pasukan yang hebat dan bukan mudah untuk menyaingi mereka, tetapi kami satu pasukan juga tidak pernah berhenti bekerja keras dan cukup bersedia untuk hadapi aksi itu nanti.

“Yang penting, saya mahu bantu pasukan lagi sekali untuk menjaringkan gol di mana saya tidak pernah serik untuk perbaiki prestasi dalam setiap perlawanan sebelum ini,” katanya.