Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mengucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur City selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Antara Zon saingan Piala AFC 2022.

Rajagobal berkata demikian menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau menganggap pemain menampilkan prestasi yang cukup baik dalam kemenangan 3-1 ke atas kelab India, ATK Mohun Bagan.

“Tahniah kepada KL City setelah menampilkan permainan bola sepak yang hebat dan sebagai peminat bola sepak yang menonton perlawanan, itu adalah aksi yang menampilkan kualiti tinggi.

“Permainan dirancang dengan baik, watak tip top telah ditunjukkan oleh semua pemain ditambah dengan keazaman yang kuat. Syabas kepada seluruh pasukan,” kata Datuk K.Rajagobal.

Kedua-dua pasukan jelas bermain dengan berhati-hati pada perlawanan semalam sekaligus memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Usaha skuad warga kota akhirnya membuahkan hasil apabila ketua pasukan, Poulo Josue melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk gol pertama pada minit ke 60 sehingga Stadium Salt Lake bertukar sunyi tanpa sorakan penyokong tuan rumah.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-0, Mohun Bagan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fardin Ali Molla yang menyudahkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke 89.

Bagaimanapun, gol penyamaan itu langsung tidak mematahkan semangat pemain KL City dan mereka kembali bangkit menjaringkan dua gol di masa kecederaan menerusi tandukan Fakrul Aiman dan rembatan leret Romel Morales.

Hasil kemenangan 3-1 tersebut, KL City telah menempah tiket ke Final Antara Zon menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada 5 Oktober 2022. Mereka tinggal selangkah lagi untuk mara ke final Piala AFC bagi penentuan sebagai juara.

Kali terakhir kelab Malaysia muncul juara saingan Pial AFC ialah pada edisi 2015 dimana Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan FC Istiklol dengan keputusan 1-0.