Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal menganggap pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman sebagai seorang pemain yang luar biasa.

K.Rajagobal berkata demikian menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau turut berpendapat JDT melakukan kerja yang baik dalam membentuk Arif menjadi pemain terbaik dalam negara.

“Dia salah seorang pemain yang luar biasa. Mempunyai kualiti terbaik dan sangat impresif. Yakin, tenang dan juga berani. Bakat cemerlang yang telah digilap oleh JDT,” katanya.

Saham Arif Aiman semakin meningkat naik selepas beliau membantu JDT melepasi cabaran peringkat kumpulan dalam saingan AFC Champions League (ACL) sekaligus mara ke pusingan seterusnya buat pertama kali dalam sejaran kelab.

Arif menampilkan prestasi cemerlang ketika diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan ACL dan paling diingati ialah ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Ulsan Hyundai.

Pada minit-minit akhir permainan, Arif membuat gerakan yang memaksa pertahanan Ulsan Hyundai, Park Yong-uh tertampan bola ke gawang sendiri sekaligus memberikan kemenangan 2-1 kepada JDT.

Arif Aiman
Sumber Gambar: JDT

Setelah tamat saingan peringkat kumpulan ACL, ramai pihak yang mencadangkan agar pemain yang baru sahaja menginjak usia 20 tahun itu agar beraksi di luar negara bagi meningkatkan lagi mutu dan tahap permainan beliau.

Melihat kepada prestasi yang ditampilkan sejak beraksi bersama JDT dua musim lalu, Arif dilihat sudah bersedia untuk beraksi di luar negara sekaligus mengikut jejak langkah rakan sepasukan iaitu Safawi Rasid (Portimonense), Syamer Kutty Abba (Vilaverdense) dan Mohamadou Sumareh (Police Tero).

Saingan Liga Jepun atau Liga Korea dilihat sebagai destinasi yang ideal untuk Arif memulakan karier di luar negara memandangkan sudah ada pemain dari Asean yang mampu mencipta impak positif di sana.

Pemain dari Thailand seperti Chanathip Songkrasin (Hokkaido Consadole Sapporo) dan Theerathon Bunmathan (Yokohama F Marinos) berjaya mencipta impak selain berjaya memenangi trofi kejuaraan bersama kelab yang diwakili.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Buriram United Setuju Pinjamkan Supachok Sarachat Ke Kelab Jepun

Chanathip Songkrasin Alami Cedera Otot, Mungkin Terlepas Saingan Kelayakan Piala Asia 2023

Ronaldo Antara 20 Pemain Yang Dipilih Sertai Skuad Indonesia B-23 Di Sukan SEA