Sikap bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain harus dijadikan sebagai salah satu elemen penting buat semua pasukan Liga Malaysia ketika ini bagi menghadapi saat sukar selepas saingan masih ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Itulah respons pantas legenda bolasepak negara, Datuk Hassan Sani ketika ditanya berkenaan saingan liga yang perlu ditangguhkan lagi apabila tempoh peraturan kawalan pergerakan dilanjutkan lebih lama sehingga 14 April depan.

Sudah pasti, aspek kewangan paling menjadi kerisauan di mana bekas penyerang kebangsaan itu berpendapat baik pemain, pegawai dan pihak tertinggi persatuan perlu ada sikap bertimbang rasa antara satu sama lain untuk sama-sama bersabar memandangkan isu yang berlaku adalah di luar kawalan membabitkan keselamatan semua pihak.

Datuk Hassan Sani
Sumber Gambar: NST

“Saya harap semua pihak dapat bersabar kerana benda yang berlaku bukan kita yang minta dan ia melibatkan keselamatan semua orang.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, semua pihak perlu duduk semeja dan berbincang terutamanya mengenai gaji dan kebajikan pemain agar mereka dapat lebih memahami antara satu sama lain kerana apa yang berlaku bukan melibatkan saingan di Malaysia sahaja tetapi liga antarabangsa di seluruh dunia juga, malah ada antara mereka di luar negara yang sedia dipotong gaji.

“Tetapi kalau untuk kita di Malaysia, terpulanglah kepada hasil perbincangan antara pemain dan pasukan masing-masing adakah mereka sanggup berkorban dalam tempoh singkat ini dahulu atau apa cara sekalipun untuk bertahan”, katanya.

Dalam masa yang sama, dua lagi legenda bolasepak negara, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun turut senada untuk setiap persatuan selepas ini bergerak lebih proaktif mencari jalan keluar kepada setiap masalah lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar ini.

Datuk Hassan Sani
Sumber Gambar: SB

“Kita tidak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini dan kita juga fahamlah apa yang akan dihadapi oleh pemain-pemain kerana tidak tahu perlu tunggu berapa lama untuk kembali beraksi.

“Baik pasukan dan pegawai juga kena faham kerana dalam waktu sukar ini, mereka semualah yang kena kekal kuat dan teruskan berhubung antara satu sama lain untuk cari jalan penyelesaian bagi harungi situasi ini”, jelas Santokh.

Datuk Hassan Sani
Sumber Gambar: SB

“Bagi saya, apa yang paling penting adalah kita kena tunggu agar isu virus ini pulih terlebih dahulu kerana selagi tidak selesai, selagi itu saingan tidak akan kembali bersambung.

“Saya faham, ada sesetengah pasukan yang mampu dan tidak akan berdepan masalah kewangan pun, tetapi ada pasukan dan kelab sedang bergelut serta risau memikirkan perkara ini.

“Jadi, jangan buang masa lagi dan berbincanglah sebaik-baiknya, terpulang bagaimana mereka nak buat keputusan, sekurang-kurangnya apa jua yang diputuskan adalah untuk sementara waktu ini sahaja”, demikian pendapat Chin Aun.

Terbaharu, pihak Kerajaan Malaysia telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April depan menandakan saingan Liga Malaysia juga terpaksa ditangguh lebih lama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Datuk Rajagobal Cadangkan MFL Korbankan Piala FA Dan Kekalkan Piala Malaysia

Melaka Adalah Pasukan Yang Miliki Purata Umur Pemain Paling Tua Dalam Saingan CIMB Liga Super 2020

Pemain JDT Sumbangkan Sebahagian Gaji Untuk Bantu Mangsa Wabak COVID-19